Isu tikam bayi: KPWKM beri intervensi bersesuaian

Sinar Harian
Februari 15, 2022 05:30 MYT
Suspek yang berusia 15 tahun ketika tiba di Mahkamah Majistret Kemaman pada Selasa. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberi intervensi bersesuaian secara holistik ketika menyantuni kanak-kanak yang didakwa menikam bayi dilahirkannya.
Kementerian itu memaklumkan, pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil tindakan serta-merta pada Selasa minggu lalu dengan menggunakan pendekatan psikososial demi kebajikan kanak-kanak tersebut.
"Ibu kanak-kanak tersebut juga telah diberi kaunseling dan intervensi awal bagi memastikan kestabilan emosi keluarga dalam menghadapi situasi mencabar ini," katanya.
Menurutnya, pendekatan holistik melalui pendidikan seksual reproduktif, kesedaran dan kaunseling serta khidmat nasihat untuk wanita yang sedang menjalani kehamilan tidak diingini perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan hal sama berulang.
"Kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif bersama badan bukan kerajaan (NGO) dengan menyediakan peti pelindung bayi (baby hatch) bagi mengelakkan kes pembuangan bayi.
Pada masa yang sama bayi yang telah dibuang oleh ibu bapa akan mendapat hak penjagaan keluarga dan kasih sayang melalui permohonan anak pelihara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun kementerian itu berkata, peti pelindung bayi bukanlah satu-satunya penyelesaian kepada kes pembuangan.
"Kementerian melalui JKM turut menyediakan perkhidmatan perlindungan segera di empat buah Taman Seri Puteri (TSP) bagi kanak-kanak di bawah 18 tahun dan tiga buah Pusat Jagaan Sinar Kasih bagi memberi jagaan dan perlindungan segera kepada wanita hamil luar nikah termasuk bayi yang dilahirkan," katanya.
Negara pada minggu lalu dikejutkan dengan laporan bayi dibunuh ibunya yang berusia 15 tahun.
Bayi yang dilahirkan cukup sifat itu dipercayai ditikam menggunakan objek tajam oleh ibunya sendiri.
BACA: Bayi ditemui maut dengan kesan tikam di dada
Polis turut mengenalpasti seorang lelaki yang dipercayai merogol remaja berkenaan dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 dan 376 Kanun Keseksaan.
BACA: Kes bayi maut ditikam: Polis cari Mohammad Hazuarie bantu siasatan
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#bayi #kaunseling #tikam #ibu
;