Isu tidak cukup kuorum usaha memperlekeh kerajaan PH - Fahmi Fadzil
Faris Danial Razi
November 22, 2019 05:00 MYT
November 22, 2019 05:00 MYT
Isu tidak cukup kuorum di Dewan Rakyat hanya usaha untuk memperlekehkan kerajaan Pakatan Harapan.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, tidak timbul Ahli Parlimen tidak mencukupi dan jadual kehadiran kini sedang ditambah baik.
"Ini seperti jadual bertugas, kami ada senarai untuk pastikan siapa yang kita anggap hadir ataupun bertugas di Parlimen pada satu-satu masa.
"Buat masa ini, senarai itu saya percaya sedang ditambah baik," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa isu tidak cukup kuorum itu dibangkitkan kerana terdapat segelintir ahli Dewan Rakyat yang mengambil masa atas urusan tertentu.
"Kebiasaannya Ahli Parlimen kadang-kadang di waktu tengah hari, contohnya, kami ada sesi taklmat dan bila sesi taklimat itu terlalu panjang dan mengambil masa lebih sedikit untuk mereka kembali ke dalam dewan.
"Sebenarnya Ahli Parlimen cukup, mereka mungkin berada di lounge untuk berehat dan minum. Ada juga sesetengah yang keluar untuk solat, dan bila dipanggil kebiasaannya orang akan segera masuk balik," katanya.
Lantaran itu, Ahmad Fahmi menegaskan bahawa ia tidak sewajarnya dijadikan isu tidak cukup kuorum di Parlimen kerana Ahli Parlimen masih hadir cuma tidak berada di dalam dewan buat sementara waktu.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof yang mendakwa 'backbench' kerajaan lemah.
Tambah Ahmad Fahmi, perkara ini keutamaan bersama dan tidak perlu menunding jari kepada mana-mana pihak sama ada kerajaan ataupun pembangkang.
"Bagi saya kehadiran ataupun kuorum bukan isu pembangkang atau kerajaan, ini adalah isu keutamaan kita bersama."
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kedua-dua pihak perlu melihat isu kuorum ini dengan lebih serius.
"Semua Ahli Parlimen perlu memainkan peranan untuk menjamin kuorum ataupun cukup bilang dalam peraturan mesyuarat, tidak perlu menjadikannya satu isu, dan ini akan membantu bagi melancarkan sesi sidang.
"Saya lihat ini yang perlu kita lakukan kerana rakyat sentiasa memerhati," kata beliau lagi.