Isu telur penyu: Ismail Sabri beri analogi daging lembu

Harits Asyraf Hasnan
November 19, 2015 12:17 MYT
Ismail Sabri berkata orang Hindu juga datang kenduri orang Melayu dan atas meja terhidang pelbagai hidangan berasaskan daging lembu seperti rendang atau gulai kawah, tetapi mereka tidak makan daging itu. - Gambar fail
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini sekali lagi memberi penjelasan berhubung tuduhan yang mengatakan beliau memakan telur penyu di Sandakan, Ogos lepas.
Ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa, Ismail Sabri memberi analogi daging lembu berhubung isu tersebut.
"Saya nak cuba memberi andaian ini kepada ahli-ahli Parlimen. Di Malaysia setiap kenduri orang Melayu, Islam akan ada daging lembu.
"...orang Hindu juga datang kenduri orang Melayu dan atas meja terhidang pelbagai hidangan berasaskan daging lembu seperti rendang atau gulai kawah.
"Jadi dengan ada daging lembu tersebut, jangan buat andaian bahawa orang Hindu makan daging lembu tersebut. Orang Hindu di Malaysia tidak makan daging lembu kerana bertentangan dengan ajaran agama mereka," jelas Ismail Sabri.
Justeru, katanya andaian yang mengatakan apa sahaja yang terhidang di meja akan dimakan, tidak boleh diterima.
Ketika Ismail Sabri membuat penjelasan tersebut, terdapat juga cubaan dari beberapa ahli Parlimen untuk mencelah, namun ditolak oleh beliau.
Sebelum ini, dalam satu kenyataan Ismail Sabri menyerahkan kepada kerajaan Sabah untuk mengambil tindakan ke atas penganjur yang menghidangkan telur penyu pada majlis yang dihadirinya di Sandakan, Ogos lepas.
Jelasnya, sebagai tetamu pada majlis itu, beliau tidak terlibat dalam memesan makanan yang dihidangkan termasuk telur penyu yang merupakan haiwan terancam di negara ini.
#analogi #daging lembu #ismail sabri yaakob #Sandakan #telur penyu