Isu tanah TRX: Beri jawapan untuk hilang kerisauan rakyat - Dr Maza
Astro Awani
Mei 7, 2015 18:46 MYT
Mei 7, 2015 18:46 MYT
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap supaya pemimpin utama negara dapat memberi satu jawapan yang boleh menghilangkan kerisauan rakyat dalam isu pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji.
Menulis di blog peribadinya, Dr Mohd Asri berkata, beliau cuba bertanya mengenai perkara berkenaan kepada rakan-rakan di pihak kerajaan namun tiada jawapan yang jelas dan memuaskan.
"Saya risau. Ini bukan isu politik kepartian. Saya bukan penyokong pembangkang. Tapi ia isu masa depan saya dan negara saya.
"Saya harap pemimpin utama negara ini dapat memberikan satu jawapan yang boleh menghilangkan kerisauan rakyat ini. Kasihanilah kami," tulis beliau.
Dr Mohd Asri berkata isu yang dibangkitkan bukan isu politik kepartian sebaliknya merupakan hak seorang rakyat yang ingin tahu tentang masa depannya.
Dr Mohd Asri meluahkan kerisauan beliau di laman Facebook peribadinya terhadap beberapa isu yang hangat diperkatakan mutakhir ini.
Katanya, isu 1MDB yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membabitkan kehilangan puluhan billion yang masih misteri.
"Jho Low pula kelihatan tersenyum mewah di sana-sini. Mengapa dia begitu 'kebal dan utuh'?
"Media antarabangsa pula tidak henti-henti melaporkan kemewahan luar biasa wanita tertentu.
"Benarkah begitu? Rakyat pula terbeban dengan kenaikan harga barang," tulis beliau lagi.
Isu pembelian tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji menjadi perbincangan hangat sejak semalam ekoran pendedahan mengenainya oleh sebuah blog.
Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada awalnya menafikan berita tentang pembelian tanah tersebut.
Namun, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah menerusi kenyataan hari ini mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).