Isu tanah kampung baru perlu dapat pandangan semua pihak - MB Perak

Abd Razak Mohd Ali
November 25, 2019 06:29 MYT
Ahmad Faizal (empat, kiri) melancarkan Logo Dana Kreatif Perak@PORT pada majlis malam tadi. --fotoBERNAMA
Kerajaan negeri Perak akan membincangkan desakan DAP yang mahukan kerajaan negeri menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan.
Menurutnya, adalah menjadi amalan, apa juga yang akan dilakukan di dalam kerajaan negeri, ia akan mendapatkan pandangan daripada semua pihak terlebih dahulu.
"Tentunya apa yang diperkatakan dalam Konvensyen DAP baru-baru ini akan mendapat perhatian daripada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak dan kami akan berbincang tentang perkara itu dan kita akan buat keputusan.
"Tetapi yang lebih penting, kerajaan PH Perak tidak ada masalah, kita bekerja masih lagi sebagai satu pasukan.
"Alhamdulillah hari ini dalam pelbagai mesyuarat yang saya lalui bersama dengan rakan-rakan Exco yang lain, semua berjalan dengan baik. Jadi kita terus menumpukan perhatian untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," katanya.
Ahmad Faizal ditemui selepas melancarkan Dana Kreatif@Port pada Majlis Makan Malam Bersama Menteri Besar dan Ahli Lembaga Pengarah Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) di sini malam tadi.
Pada Ahad, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming ketika berucap dalam Konvensyen DAP Perak di Ipoh berkata, beberapa janji lain yang terkandung dalam buku manifesto PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu juga akan dituntut.
Ahmad Faizal berkata, masalah pajakan tanah bukan sahaja melibatkan di kampung-kampung baru tetapi juga di tempat-tempat lain termasuk di kampung-kampung tradisional.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak mengambil masa yang panjang untuk menyambung lagi tempoh pajakan tanah yang hampir tamat.
#Ahmad Faizal Azumu #DAP #Exco #hak milik kekal #Ipoh #Kampung Baru #kampung tradisional #kerajaan #Manifesto #mesyuarat #Nga Kor Ming #pajakan tanah #Pakatan Harapan #tanah
;