Isu tafsir al-Quran: Howard Lee jumpa Menteri Agama, terima nasihat serta teguran

Astro Awani
Oktober 3, 2023 10:45 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Howard Lee berjabat tangan selepas mengadakan pertemuan pada Isnin. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar, pada Isnin malam menitipkan pesanan dan nasihat kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee susulan kontroversi tafsiran ayat al-Quran yang dibuat pemimpin politik dari DAP itu.
Dalam pertemuan empat mata itu, Howard bersetuju dengan nasihat Mohd Na'ím agar lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini.
Mohd Na'im turut menyifatkan pertemuan antara beliau dengan Howard sangat membina.
"Pertemuan yang sangat membina, satu persefahaman iaitu Islam tetap wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan.
"YB (Yang Berhormat) Howard bersetuju dengan nasihat saya supaya lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini," katanya.
Howard, sebelum ini membuat permohonan maaf susulan rakaman video ucapannya tular di media sosial.
Beliau meminta maaf pada 26 September lalu, selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu berkata, permohonan maaf itu dibuat antaranya mengambil kira saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
#Howard Lee #Howard Lee minta maaf #isu tafsir al-Quran #Mohd Na'im Mokhtar
;