Isu Tabung Haji: Apa yang anda perlu tahu?
Disember 9, 2018 06:00 MYT
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima dua laporan polis yang dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan salah guna kuasa yang dilakukan pemimpin terdahulu organisasi itu.
- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, setakat ini pihaknya membuat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Saya sahkan kita terima laporan polis daripada TH dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.” Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh
- Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan penyelewengan terutama jika ia melibatkan wang rakyat.
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata beliau yakin pihak berkuasa akan bertindak mengikut undang-undang.
"Sekiranya pihak terbabit didapati bersalah, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap TH.” Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
- Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata beliau akan terus bersuara mengenai Tabung Haji (TH) biarpun pernah dikeji dan dimaki ketika mendedahkan kepincangan itu pada 2015.
- Beliau berkata tindakan mendedahkan kepincangan TH sejak 1 Mac 2015 membawa dirinya ke penjara dan sehingga kini kes berkenaan masih dibicarakan atas tuduhan memfitnah.
"Saya dikeji secara berterusan, baik dari kalangan penyokong UMNO, Pas mahupun rakyat biasa. Tidak ramai sahabat yang berani datang memberi sokongan kerana takut menjadi mangsa serangan juga.” Rafizi Ramli
"Saya ditahan, didakwa dan masih menjalani perbicaraan kononnya memfitnah Tabung Haji. Ada pimpinan kanan yang menuduh kononnya saya telah menyebabkan ribuan orang Islam tidak boleh menunaikan ibadah haji.” Rafizi Ramli
- Akhbar Sunday Times melaporkan, TH kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak tahun 2017.
- Angka tersebut dipetik melalui penyata kewangan TH bagi tahun 2016. Laporan itu mendakwa, jurang kekurangan ini mungkin lebih besar bagi tahun 2017, dan 2018.
- Untuk tahun 2016, aset TH dinyatakn berjumlah RM63.6 bilion berbanding wang pendepositnya sebanyak RM67.7 bilion.
“Terdapat sumber dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa barisan pengurusan TH sebelum ini memalsukan penyata kewangan tahun 2017 untuk membolehkan TH membuat bayaran dividen sebanyak 6.25 peratus pada bulan Februari 2018, iaitu hanya tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).” Akhbar Sunday Times (Singapura)
- Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) institusi Islam.
- Jelas beliau, TH seharusnya menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu dengan memanggil beliau untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya terus membuat laporan polis tanpa mengetahui perkara sebenar susulan dakwaan RM22 juta telah digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.
"Saya terkejut SOP ini tidak diguna pakai walaupun saya bekas Pengerusi Tabung Haji. Adalah baik pihak Tabung Haji memanggil saya untuk memberikan keterangan dahulu. Kita boleh adakan siasatan dalaman, boleh tanya saya dahulu duit ini datang daripada mana, bagaimana diagihkan.” Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
- Menurut Abdul Azeez, dana RM22 juta yang digunakan untuk program “Ziarah Kasih”, “Jom Bantu Rakyat” dan “Ziarah Kasih Ramadhan” adalah untuk membantu ibu-ibu tunggal miskin di lebih 60 kawasan Parlimen tanpa mengira fahaman parti.
- Tegasnya dana tersebut bukan wang daripada pendeposit TH tetapi sebahagiannya hasil daripada keuntungan pelaburan Tabung Haji itu sendiri berjumlah RM7 juta.
"Bakinya adalah hasil sumbangan UMNO Malaysia, kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat yang tidak pernah berniaga dengan Tabung Haji untuk menjalankan aktiviti bulan Ramadhan pada 2017.” Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
- Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyiasat dua laporan polis dibuat TH pada 30 Nov lalu.
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengadakan sidang media mengenai pendedahan dan laporan prestasi TH.