Isu Sungai Kilim: Kebocoran di tapak pembuangan sampah punca pencemaran

Astro Awani
Ogos 26, 2016 22:11 MYT
Astro AWANI melaporkan pada Jumaat mengenai mengenai Sungai Kilim yang kini dalam keadaan "busuk, kotor dan tercemar."
Susulan pencemaran yang didapati berlaku di Sungai Kilim, Langkawi, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menjelaskan berlaku kebocoran pada tapak pembuangan sampah di kawasan itu.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerja pembaikan sedang giat dijalankan ditapak berkenaan.
Malah, beliau menambah, masalah sama turut berlaku di tapak pembuangan sampah di Pulau Pangkor, Perak, dan Cameron Highlands, Pahang.
"Sewaktu kontraktor sedang membuat kerja kita di kawasan tersebut, dia telah terkaut / cangkuk benting ke sungai itu. Ini menyebabkan ada kebocoran di situ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan eksklusif Astro AWANI mengenai Sungai Kilim yang kini dalam keadaan "busuk, kotor dan tercemar."
"Sebenarnya kita ada tiga tempat sedang rosak sekarang ini. Pertama di Langkawi, (kedua di) Pulau Pangkor dan (ketiga) Cameron Highlands," katanya.
Beliau juga diminta mengulas mengenai loji insinerator bernilai hampir RM70 juta di pulau itu yang tidak berfungsi sejak sekian lama.
Keadaan itu mengakibatkan sampah dari seluruh pulau itu terpaksa dilonggokkan di tanah lapang bersebelahan insinerator itu.
Menjelaskan perkara tersebut, Noh berkata, kementeriannya sedang dalam proses memilih kontraktor baharu.
"Apabila (kontraktor) sudah dipilih, (mereka) akan membaiki insinerator mini ini dan (ia) akan beroperasi" tambahnya.
#insinerator #kebocoran #Kementerian Kesejahteraan Bandar #Noh Omar #Perumahan dan Kerajaan Tempatan #Sungai Kilim #tapak pembuangan sampah
;