Isu sumbangan 2 juta vaksin: Yong Chee Kong tampil beri keterangan kepada polis

Ruzaini Zulkepli
Mei 21, 2021 14:40 MYT
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali (gambar) berkata, Yong Chee Kong tidak ditahan dan hanya dipanggil bagi menjalani proses mengambil keterangan. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Individu yang terpalit isu sumbangan vaksin, Yong Chee Kong, telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini untuk diambil keterangan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, bagaimanapun dia tidak ditahan dan hanya dipanggil bagi menjalani proses mengambil keterangan itu.
"Individu yang dimaksudkan ini telah dipanggil ke IPK Kepayan untuk sesi mengambil kenyataan.
"Berhubung dakwaan beliau diambil atau ditahan oleh polis ke rumahnya adalah tidak benar dan polis juga ingin menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.
"Sebarang perkembangan mengenai kes ini saya akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengenai perkembangan baharu melibatkan individu berkenaan yang didakwa terlibat dengan aktiviti penipuan sumbangan vaksin baru-baru ini.
Sumbangan Vaksin | Yong Chee Kong tampil beri penjelasan
Semalam, Astro AWANI telah mendapatkan reaksi daripada Chee Kong yang mendedahkan dia terkejut apabila dimaklumkan media mengenai perkara itu susulan pendedahan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sebelum ini, Khairy berkata tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang yang dilaporkan sebelum ini merupakan satu penipuan (scam).
COVID-19 | Belum ada bukti sumbangan vaksin oleh yayasan - KJ
#vaksin #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Khairy Jamaluddin #Yong Chee Kong #sumbangan vaksin #Pesuruhjaya Polis Sabah #Hazani Ghazali #yayasan
;