Isu stoking tertera kalimah Allah: Armada Bersatu persoal kelewatan siasatan, tindakan
Afiezy Azaman
Mac 20, 2024 08:30 MYT
Mac 20, 2024 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim perlu menjadi titik noktah kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian negara.
Menurut Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pihaknya menyokong titah Sultan Ibrahim yang mahu siasatan serta tindakan tegas diambil ke atas pihak bertanggungjawab dalam isu penjualan stokin tertera kalimah Allah.
"Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menjaga dan mempertahankan kesucian agama Islam khususnya kalimah Allah.
"Lebih-lebih lagi, kejadian sebegini bukan kali pertama. Sudah banyak kali berlakunya insiden yang mengguris hati umat Islam tetapi mengapa Kerajaan Madani serta pihak berkuasa begitu lembab bertindak, sedangkan kes stoking tertera kalimah Allah ini terang-terang menyentuh isu “Agama, Bangsa dan Raja” ataupun perkara 3R," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Pada Selasa, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah, mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, Armara Bersatu tidak akan dibatasi dengan sempadan politik dalam isu memelihara keharmonian negara ini serta berdiri teguh dengan pihak yang mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air.