Isu stoking kalimah Allah: Pengasas KK Mart, isteri mengaku tidak bersalah hina agama Islam
Faida Rahim
Mac 26, 2024 10:45 MYT
Mac 26, 2024 10:45 MYT
SHAH ALAM: Pengasas KK Super Mart dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.
Datuk Seri Chai Kee Kan dan Datin Seri Loh Siew Mui membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Turut dituduh adalah kedua-dua syarikat iaitu KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) dan pengedar yang masing-masing diwakili Kee Kan dan Chin Huat.
Kedai serbaneka itu menjadi tumpuan baru-baru ini susulan pembongkaran beberapa pasang stoking tertera kalimah Allah dijual di sebuah rangkaiannya pada 13 Mac lalu.
Kee Kan memohon maaf atas kontroversi itu pada sidang media 16 Mac lalu, disertai pengurusan tertinggi syarikat pembekal dan pemilik Xin Jian Chang, Soh Chin Huat yang mendakwa stoking itu diimport dari China.
Sementara itu, KK Mart menyaman vendor, Xin Jian Chang Sdn Bhd (XJC) kerana didakwa mensabotaj perniagaan rangkaian kedai serbaneka itu dengan membekalkan stoking tertera kalimah Allah.
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka berkenaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.
Susulan isu tersebut, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita dan bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.