Isu stoking: 'Akmal wakili suara umat Islam' - Ab Rauf
Shuhada Abdul Kadir
Mac 21, 2024 00:34 MYT
Mac 21, 2024 00:34 MYT
AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan kelantangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking yang tertera kalimah Allah SWT mempunyai asas yang konkrit.
Beliau berkata, kelantangan Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu juga disifatkan mewakili suara umat Islam seluruh negara memandangkan isu berkenaan jelas mengguris hati semua pihak.
“Sebenarnya isu kalimah Allah yang diletakkan distoking ini memang mengguris hati rakyat Malaysia yang beragama Islam kerana kita seharusnya menghormati hak agama masing-masing.
“Kelantangan Dr Akmal ini mewakili orang Melayu (dalam) menyuarakan suara hati orang Islam yang terguris dalam kebiadaban syarikat yang mencetak dan menjual (stoking kalimah Allah) yang mana soal politik tidak mengubah pendirian kita tentang agama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Melaka Bagi Daerah Melaka Tengah Tahun 2024, di Masjid Al Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata isu itu juga perlu diselesaikan secara pragmatik dan tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak bagi memastikan ianya tidak berulang.
“Seharusnya perkara ini tidak berlaku di negara kita kerana kita telah bersepakat dalam konteks sosial untuk saling menghormati yang mana kesedaran ini harus dipertingkatkan.
“(Apabila) kalimah Allah ini tidak diletakkan di tempat yang betul memang ianya menyinggung hati orang Islam kerana soal agama ini amat sensitif,” tambahnya.
Terdahulu, kelantangan Muhamad Akmal berhubung kontroversi berkenaan termasuk menggerakkan usaha boikot ‘menjentik’ reaksi beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Muhamad Akmal turut dilaporkan tetap tidak berganjak dari desakan rakan sekutunya untuk tidak memboikot KK Mart berhubung kontroversi stoking tertera kalimah "Allah" itu dan menegaskan dia tidak memerlukan persetujuan DAP untuk perkara itu.