Isu status agama: Wanita kahwini pemain hoki India akan dipanggil - Ahmad Marzuk

Muhafandi Muhamad
Disember 20, 2020 14:10 MYT
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata wanita itu akan dipanggil sebaik sekembalinya ke Malaysia. - Foto Fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Kerajaan akan memanggil seorang wanita warganegara Malaysia yang dilaporkan berkahwin dengan seorang pemain hoki India baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata wanita itu akan dipanggil sebaik kembali ke Malaysia.
“Dia berkahwin di luar negara dan tidak ada permohonan untuk berkahwin di luar negara.
“Barangkali, kalau ada permohonan pun mungkin untuk dia ke negara India atas alasan yang lain.
“Jadi, kerajaan amat peka dan juga akan barangkali berurusan dengan wanita ini apabila beliau kembali ke tanah air untuk kita mendapat penjelasan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada Nelayan dan Petani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di sini, hari ini.
BACA: Isu agama wanita kahwin pemain hoki India dalam siasatan
Mengulas lanjut Marzuk berkata, berdasarkan pembacaan beliau di media sosial difahamkan wanita berkenaan masih beragama Islam, manakala lelaki itu pula dipercayai sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.
Namun begitu, katanya, penjelasan sebenar akan diperoleh melalui pengakuan yang akan dibuat wanita itu setelah tiba di Malaysia.
“Namun apa yang sudah tular semalam, dia menafikan dia keluar daripada Islam dan bagi pihak kerajaan setakat ini tidak ada permohonan daripada beliau untuk keluar daripada agama, menjadi murtad, tidak ada.
“Jadi kalau dikatakan beliau masih lagi Islam, memang itu yang kita terima, kerana tidak ada permohonan untuk murtad,” jelasnya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang pemuda yang juga pemain hoki di India dipercayai melangsungkan majlis perkahwinan dengan pasangannya dari Malaysia.
Pasangan tersebut yang bercinta sejak lapan tahun lalu itu dikatakan mengadakan majlis resepsi di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.
#perkahwinan #pemain hoki India #Ahmad Marzuk Shaary #media sosial #hoki #isu agama #status agama
;