Isu sijil halal: Teresa Kok tiba di Bukit Aman untuk beri keterangan

Umavathi Ramayah
September 10, 2024 10:00 MYT
Teresa Kok (kanan) ditemani peguam Syahredzan Johan (tengah) melambai ke arah petugas media sebaik tiba di Bukit Aman, di sini, pagi Selasa. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tiba di ibu pejabat polis Bukit Aman, di sini, untuk dirakam keterangan berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Beliau yang ditemani peguam Syahredzan Johan tiba kira-kira pukul 9.42 pagi sambil melambai ke arah petugas media.
Satu sidang media dijangka diadakan pukul 11 pagi selepas Naib Presiden DAP itu memberi keterangan kepada Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini memberitahu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyentuh isu agama.
Seksyen itu, katanya, memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, Teresa juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengandungi kenyataan jelik.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun, Teresa dilaporkan kemudiannya menyatakan bahawa cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan seperti itu mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
#isu sijil halal #Teresa Kok #Bukit Aman #Unit Siasatan Jenayah Terkelas
;