Isu sijil halal: Teresa Kok selesai beri keterangan di Bukit Aman

Umavathi Ramayah
September 10, 2024 12:56 MYT
Teresa Kok menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, pada Selasa, berhubung isu sijil halal. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selesai memberi keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.
Beliau yang ditemani peguam Syahredzan Johan dan Ramkarpal Singh dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, sekitar pukul 11.50 pagi setelah keterangannya direkodkan lebih sejam 30 minit.
Dalam sidang media sejurus itu, Syahredzan memberitahu, lebih daripada 20 soalan diutarakan kepada Teresa Kok dan anak guamnya itu memberi kerjasama sepenuhnya kepada kesemua soalan itu.
Beliau turut mengesahkan, polis tidak membuat sebarang rampasan termasuk telefon pintar anak guamnya itu.
“Kes ini disiasat di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) kanun sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ramkarpal berharap polis akan turut memanggil pihak-pihak berkaitan untuk direkodkan keterangan berhubung isu berkenaan bagi melengkapkan siasatan secara menyeluruh.
“Saya juga berharap siasatan ini dapat dilengkapkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Teresa Kok memberi perhatian kepada kerja-kerja rasmi,” ujarnya.
Namun, beliau tidak memperincikan pihak-pihak berkaitan yang dimaksudkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini memberitahu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyentuh isu agama.
Seksyen itu, katanya, memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, Teresa juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengandungi kenyataan jelik.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun, Teresa dilaporkan kemudiannya menyatakan bahawa cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan seperti itu mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#Teresa Kok #isu sijil halal #Bukit Aman #Syahredzan Johan
;