Isu sijil halal: 'Saya tak pernah persoal peranan Jakim, sijil halal' - Teresa Kok

Astro Awani
September 10, 2024 16:45 MYT
Teresa Kok menjelaskan beliau tidak pernah mempersoalkan peranan Jakim termasuk langkah pematuhan sijil halal. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Teresa Kok menjelaskan beliau tidak pernah mempersoalkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuk langkah pematuhan sijil halal.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Seputeh itu menegaskan, sebagai seorang wakil rakyat beliau berhak untuk menyuarakan kembimbangan dan masalah rakyat berbilang kaum.
"Saya mempunyai tanggungjawab untuk mengutarakan masalah rakyat dan saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
"Saya tidak mempersoalkan mengenai sijil halal, peranan Jakim atau tidak menghormati agama Islam," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) berhubung kenyataannya berhubung persijilan halal, baru-baru ini.
Beliau yang juga Naib Presiden DAP itu berkata, akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan itu namun mengharapkan semua pihak bertenang.
Khamis lalu, Mohd Na'im, berkata Jakim mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Sehari kemudian Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
#Teresa Kok #JAKIM #DAP #sijil halal
;