Isu sijil halal: Kertas siasatan Teresa Kok dirujuk kepada AGC dalam 2 hari - KPN

Umavathi Ramayah
September 10, 2024 14:10 MYT
Razarudin berkata, polis sudah hampir melengkapkan siasatan kes terbabit selepas keterangan Teresa dirakam pagi Selasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya mengenai pensijilan halal akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh dua hari untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sudah hampir melengkapkan siasatan kes terbabit selepas keterangan Teresa dirakam pagi Selasa.
“Kertas siasatan akan dimajukan kepada AGC (Pejabat Peguam Negara) dalam masa dua hari,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, setakat pukul 12 tengah hari Selasa, polis menerima 50 laporan di seluruh negara membabitkan Naib Presiden DAP itu.
Beliau sebelum ini memberitahu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyentuh isu agama.
Seksyen itu katanya memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, Teresa juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengandungi kenyataan jelik.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Sehari kemudian Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
#isu sijil halal #Teresa Kok #Ketua Polis Negara #Peguam Negara
;