Isu sijil halal: 'DAP akan terus berdiri bersama Teresa Kok' - Guan Eng

Umavathi Ramayah
September 10, 2024 14:00 MYT
Guan Eng berkata, Teresa hanya menjalankan tugas sebagai seorang Ahli Parlimen untuk menyatakan pandangan dan kebimbangan yang disuarakan pelbagai pihak termasuk pengundi-pengundinya. - Gambar/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, menegaskan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal, tidak menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan raja.
Justeru, beliau berkata, DAP akan terus 'berdiri bersama' Teresa yang juga Naib Presiden DAP itu, serta menyediakan bantuan guaman kepadanya untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Teresa hanya menjalankan tugas sebagai seorang Ahli Parlimen untuk menyatakan pandangan dan kebimbangan yang disuarakan pelbagai pihak termasuk pengundi-pengundinya.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, Teresa sebagai seorang Ahli Parlimen harus diberikan ruang untuk menjalankan tugas yang diamanah oleh pengundi beliau.
“Ini bukanlah perkara 3R seperti yang dituduh pihak tertentu kerana orang ramai dari semua lapisan rakyat termasuk golongan Islam pun menyatakan pandangan mereka.
“Jadi kami serah kepada polis untuk menjalankan siasatan dan berharap semua pihak dapat menangani isu ini dengan tenang dan profesional,” katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Selasa.
Teresa sebelum itu memberi keterangan selama kira-kira 90 minit di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, di sini.
Pada Isnin, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyatakan keyakinan bahawa kenyataan Teresa tidak melanggar undang-undang.
Menurutnya, Teresa hanya menyampaikan pandangannya sebagai Ahli Parlimen mengenai dasar kerajaan.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Sehari kemudian Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
#isu sijil halal #Teresa Kok #Guan Eng #DAP #terkini
;