Isu sesebuah negara tidak boleh terus hambat pembangunan ASEAN - Zambry

Ridauddin Daud
Mei 9, 2023 06:35 MYT
Zambry (kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar bersama pengamal media Malaysia di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia. -Astro AWANI
LABUAN BAJO: Isu melibatkan sesebuah negara di ASEAN tidak boleh terus menghambat rantau itu yang sekali gus menjejaskan pembangunan ASEAN secara keseluruhannya.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, rantau itu mempunyai potensi cukup besar untuk terus berkembang, terutamanya dalam bidang ekonomi.
Tegasnya, isu-isu melibatkan negara berkaitan seharusnya tidak menjadi penghalang untuk ASEAN terus berkembang mencapai potensinya pada masa depan.
“Potensi ASEAN itu sangat besar dan ASEAN perlu bertindak secara bersama dalam mengatasi krisis yang ada di negara yang berkenaan, tetapi dalam masa sama perlu memberi fokus juga kepada hal-hal lain yang sedang berkembang.
“Jadi pandangan Malaysia ialah kita tidak mahu diseret terus hingga kita lupa tentang matlamat dan potensi ASEAN yang besar yang boleh diterima secara bersama oleh semua anggota ASEAN,” katanya.
Menurutnya, Ia juga selari dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat ASEAN menjadi contoh dengan negara lain walaupun mempunyai perbezaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pengamal media Malaysia di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
Delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sidang kemuncak itu dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 11 Mei 2023 dengan Indonesia menjadi tuan rumah bagi persidangan kali ini.
Perdana Menteri diiringi Zambry selaku Menteri Luar Negeri; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Sepanjang berada di Labuan Bajo, Anwar akan menghadiri beberapa program termasuk pertemuan dua hala dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Presiden Laos, Thongloun Sisoulith; dan Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak.
Penganjuran sidang kemuncak itu menyaksikan kira-kira 1,000 delegasi dari 11 buah negara anggota ASEAN hadir sepanjang tempoh tiga hari persidangan.
#Joko Widodo #Anwar Ibrahim #Zambry Abdul Kadir #Sidang Kemuncak ASEAN ke-42