Isu sensitif: Umat Islam harus elak ambil tindakan sendiri
Bernama
April 9, 2024 18:08 MYT
April 9, 2024 18:08 MYT
KUALA LUMPUR: Umat Islam dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan sendiri berhubung sebarang isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam, namun pada masa sama kerajaan dan pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan pantas dalam menangani isu-isu berbangkit berkaitan agama Islam.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata jika ada pihak yang bertindak mengambil tindakan sendiri, perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan kekacauan yang tidak baik untuk keharmonian negara.
"Semua pihak harus membiarkan kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya, tetapi sebagai umat Islam sudah tentu kita mahu tindakan tegas dan hukuman berat diambil, jika benar satu-satu isu yang berbangkit itu mempersendakan agama Islam.
"Bagaimanapun kalau sesuatu isu yang timbul itu hanyalah sekadar tafsiran sendiri dan tiada bukti apa yang berlaku itu benar-benar bersifat menghina Islam, jadi tidak perlulah sensitif yang melampau sampai semua perkara hingga nampak huruf 'T' pon dikatanya salib... jadi dalam hal begini umat Islam harus ada rasional untuk melihat sesuatu isu yang berbangkit itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata langkah ini juga bertepatan dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menyeru agar orang Melayu khususnya di negeri itu mengambil jalan perpaduan serta memperkukuh keharmonian sesama masyarakat berbilang bangsa dan agama.
"Jika dilihat isu yang timbul sejak kebelakangan ini berkait dengan sensitiviti umat Islam khusunya melibatkan kalimah Allah, memang betul ia sangat sensitif dan mengguris semua umat Islam, namun kita juga melihat tindakan pantas kerajaan dari sudut perundangan, orang yang melakukannya juga sudah didakwa di mahkamah dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga telah menerima mengadap pelaku.
"Saya rasa apa dilakukan umat Islam di Malaysia dengan memboikot juga jelas menunjukkan impak dan jadi pengajaran kepada semua, bahawa hal-hal sebegini tidak harus dibangkitkan," katanya.
Mujibu berkata titah Sultan Sharafuddin juga tepat, memandangkan pada ketika ini ujian dan kontroversi yang melanda umat Islam telah menerima pelbagai reaksi dan titah ini juga adalah bagi rmengelakkan perkara buruk berlaku.
"Untuk elakkan perkara buruk berlaku maka semua orang harus kembali kepada seruan yang dikatakan oleh Baginda dengan mengambil jalan tengah dan bersifat sederhana," katanya.
Beliau berkata dalam menggesa agar kerajaan dan pihak berkuasa bertindak tegas, setiap proses dan prosedur tertentu bagaimanapun harus diikuti agar tidak menjadi back fire kepada kerajaan.
"Saya rasa tindakan pantas atau tidak bergantung pada pihak berkuasa sebab semua orang yang terkesan mahu tindakan sepantasnya tetapi dalam kerangka undang-undang ia perlu melalui proses dan prosedur tertentu sebagai contoh dari segi siasatan dan pembuktian.
"Saya yakin, kalau kita ambil tindakan sewajarnya dan diberi masa secukupnya hingga lengkap siasatan, saya yakin tidak ada yang terlepas," katanya.
Jumaat lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar orang Melayu khususnya di negeri itu terus mengambil jalan perpaduan serta memperkukuh keharmonian sesama masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Sambil menzahirkan rasa terharu melihat perpaduan, kerjasama dan sifat tolong-menolong antara satu sama lain yang dipamerkan Orang Melayu, baginda bertitah perpaduan dan kerjasama yang terjalin perlu terus dipertahan serta dipertingkat demi menjamin Selangor yang lebih maju dan progresif.
-- BERNAMA