Isu seleweng RM100 juta: 'Apa relevan suruh Khairy letak jawatan?' - Azwan Bro

Wan Syamsul Amly
Mac 22, 2016 18:51 MYT
AZWAN BRO: Isu penyelewengan KBS: 'Apa relevan suruh KJ letak jawatan?' - Gambar fail
Desakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pemuda Pas yang meminta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk meletakkan jawatan selepas pengesahan penangkapan seorang pegawai dari kementeriannya yang dipercayai mendalangi sindiket penyelewengan dana mencecah RM100 juta, baru-baru ini dilihat tindakan bersifat kebudak-budakan.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, pengesahan Khairy terhadap tangkapan seorang pegawai kanan dari kementeriannya yang dipercayai mendalangi sindiket penyelewengan itu sebenarnya merupakan tindakan penuh bertanggungjawab.
"Apa relevannya menyuruh Khairy letak jawatan? Dia hendak betulkan, dia bukan lari. Ini soal pentadbiran. Dia berani ke depan, skandal ini berlaku dan dia hendak betulkan keadaan.
"Ia juga langkah ikhlas, jujur dan berani seorang menteri yang mahu melihat kementeriannya sentiasa diurus dengan baik dan tidak terpalit dengan sebarang isu negatif.
"Sebagai menteri, Khairy bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku pada kementeriannya. Masalah yang timbul adalah di peringkat pentadbiran yang tidak boleh dikenal pasti oleh peringkat atasan sama ada menteri. Apabila Khairy mula mengenal pasti, sudah tentu dia hendak memperbetulkan keadaan, jadi dia ke depan dan bertanggungjawab," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Khairul Azwan mengulas mengenai kenyataan Khairy terhadap tindakan pegawai kanannya dalam perbuatan rasuah yang didakwa sudah lama berterusan sekali gus menunjukkan kakitangan kementerian itu telah menyalahguna prosedur yang tidak memerlukan kelulusan pegawai atasan termasuk Menteri atau Ketua Setiausaha.
BACA: SPRM tahan pegawai kanan kementerian terima rasuah cecah RM20 juta
Dalam pada itu tegasnya, kesediaan Khairy untuk ke depan juga langkah komitmennya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencari dalang di sebalik isu berkenaan.
"Tidak ada individu di dalam kementerian itu yang terlibat dalam badan siasatan. Jadi ia dapat disiasat secara bebas dan sedalam-dalamnya.
"Khairy tidak lari dari masalah, dia berhadapan dengan penuh tanggungjawab. Apa yang paling penting prosedur tertentu kementerian dan punca isu itu diperbetulkan.
"Maksud bertanggungjawab Khairy di atas skandal itu adalah hendak membetulkan keadaan dalam konteks, pemantauan, prosedur. Sebab itu Khairy buka pintu seluasnya seluasnya kepada satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa," jelasnya.
Sebelum ini, Khairy mengumumkan sebuah pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kelemahan dalam prosedur kewangan dalaman kementeriannya.
Setiausaha Bahagian KBS ditahan oleh SPRM pada 17 Mac lalu selepas disyaki terlibat sindiket menyeleweng dana kerajaan lebih RM100 juta.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
#dana kerajaan KBS #Khairy Jamaluddin #salah urus dana #songlap dana kerajaan
;