Isu SDG perlu dilihat dari lensa kesihatan planet - Penganalisis
Irfan Faruqi
Januari 15, 2024 06:45 MYT
Januari 15, 2024 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semua inisiatif di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu dilihat dari lensa kesihatan planet.
Pengarah Eksekutif, Sunway Centre for Planetary Health Universiti Sunway, Tan Sri Jemilah Mahmood berkata, solusi kepada 17 matlamat SDG yang disenaraikan perlu dilihat sebagai satu sasaran bukan secara berasingan.
“Ini kerana, ia merupakan rangka kerja yang sangat penting yang mana kesihatan manusia dan kemanusiaan bukan sahaja dari segi individu, bahkan juga merangkumi kesihatan sosial, ekonomi dan alam sekitar, sangat rapat hubungannya dengan kesihatan planet kita.
“Jika kita hendak capai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kita tidak boleh lagi melihat matlamat-matlamat itu sebagai 17 Matlamat yang berasingan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
World Economic Forum (WEF) menerbitkan Laporan Risiko Global edisi ke-19 pada Januari 2024, yang antara lain menyenaraikan dua daripada sepuluh cabaran utama tahun ini melbatkan alam sekitar.
Antara lain adalah kejadian cuaca ekstrem seperti banjir dan ribut taufan semakin kerap berlaku dan ini memberi kesan buruk terhadap ekonomi dan masyarakat.
Menurut laporan itu, cuaca ekstrem sebagai risiko global paling tinggi pada ketika ini, berkemungkinan besar menimbulkan krisis bekalan makanan pada skala global pada tahun 2024, dengan fasa pemanasan kitaran El Nino-Southern Oscillation (ENSO) yang diunjur akan meningkat dan berterusan sehingga Mei tahun ini.