Isu SBPKP: Baja diseleweng dijual serendah RM10 - sumber
Hilal Azmi
November 21, 2017 18:19 MYT
November 21, 2017 18:19 MYT
Baja-baja yang diseleweng daripada Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) didapati dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Menurut sumber, baja berkenaan dijual pada harga serendah RM10 kepada orang tengah sebelum dijual semula kepada petani dengan harga lebih tinggi.
Selain itu, baja yang diseleweng juga digunakan bagi membaja sawah padi yang diusahakan suspek secara pajak seluas 55 ekar.
Kata sumber lagi, ia sekali gus memberikan keuntungan kepada orang tengah memandangkan baja berkualiti itu mempunyai permintaan tinggi dan dapat dijual pada harga di antara RM40 dan RM60 di pasaran.
Tambahnya, penyelewengan tersebut bukan sahaja merugikan kerajaan malah para petani yang sepatutnya mendapat manfaat daripada skim baja tersebut.
Semalam, SPRM telah menahan seorang Pengurus Projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Melaka kerana dipercayai menyeleweng Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan berjumlah kira-kira RM2.54 juta sejak awal tahun lalu.
Suspek lelaki berusia 38 tahun itu ditahan jam 3.00 petang di Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Melaka dan direman enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan, Datuk Simi Abdul Ghani berkata SPRM memandang serius isu penyelewengan baja ini oleh kerana bantuan kerajaan tidak sampai kepada kumpulan sasar.
Tambah beliau, SPRM tidak menolak kemungkinan akan membuat tangkapan beberapa orang lagi berhubung kes ini.
#baja berkualiti tinggi
#baja diseleweng
#penyelewengan
#SBPKP
#Seksyen 18 Akta SPRM 2009
#Simi Abdul Ghani
#skim baja padi kerajaan persekutuan
#SPRM