Isu Sajat bertelekung di Tanah Suci, Kedah ketatkan pemantauan agensi pelancongan

Abdul Hadi Che Awang
Februari 4, 2020 21:04 MYT
Dr Ismail berkata demikian sebagai mengulas kontroversi yang melanda Muhammad Sajjad Kamaruz zaman, atau Sajat yang dilaporkan mengerjakan ibadat umrah dengan berpakaian menyerupai seorang wanita.
Kerajaan negeri Kedah akan memperketatkan pemantauan ke atas setiap agensi pelancongan dan umrah yang berpengkalan di negeri itu.
Ini bagi memastikan insiden usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, atau Sajat yang mengerjakan ibadat umrah dengan berpakaian menyerupai seorang wanita tidak berulang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa, Agama, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, insiden itu bukan sahaja mencemarkan imej jemaah dari Malaysia bahkan dikhuatiri menggugat hubungan baik dua hala antara dengan kerajaan Arab Saudi.
“Kita memohon agar agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah dan haji untuk membuat prosedur yang lebih ketat supaya tidak berulang.
BACA: Jemaah Malaysia lelaki berpakaian wanita di Makkah, polis bagi amaran
BACA: Ingatan Mufti Wilayah untuk Sajat, umat Islam
BACA: Umrah Sajat sah jika cukup syarat - Mufti Kelantan
BACA: Sajat masih di Masjidil Haram?
“Hukumannya sangat berat dan ada warga negara lain yang telah dihukum di Arab Saudi sebelum ini, kita tidak mahu perkara sebegini berulang.
“Ini kerana ia akan mengeruhkan hubungan baik antara dua negara, jadi kami berharap perkara sebegini diambil berat oleh pelbagai pihak,” katanya ketika dalam sidang media Pelancaran dan Promosi Ekspo Produk Usahawan Wilayah Utara Malaysia 2020, di Wisma Darulaman pada Selasa.
Dr Ismail berkata demikian sebagai mengulas kontroversi yang melanda Sajat yang dilaporkan mengerjakan ibadat umrah dengan berpakaian menyerupai seorang wanita.
Terdahulu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan bahawa ibadat umrah yang dilakukan Sajat yang berpakaian menyerupai wanita ketika berada di tanah suci dianggap sah sekiranya mencukupi syarat.
Beliau turut berpandangan bahawa ibadat umrah yang dilakukan usahawan kosmetik itu melanggar tiga perkara iaitu tidak patuh dan taat kepada Allah, tidak taat kepada peraturan ditetapkan serta tidak mengikut fitrah yang ditetapkan.
#agensi pelancongan #Arab Saudi #Datuk Dr Ismail Salleh #Kedah #Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman #Sajat #umrah
;