Isu Sabah-Filipina: Kukuhkan kedaulatan, Anwar dukung pendirian Kerajaan Malaysia

Astro Awani
September 3, 2020 15:52 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung pendirian Kerajaan Malaysia dalam memperkukuhkan kedaulatannya di semua badan serantau mahupun antarabangsa. - Gambar fail
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung pendirian Kerajaan Malaysia dalam memperkukuhkan kedaulatannya di semua badan serantau mahupun antarabangsa.
Tegas beliau, sikap dan langkah beberapa pegawai tertinggi kerajaan Filipina yang mempersoal kedaulatan Malaysia ke atas Sabah adalah sangat tidak wajar.
"Sabah jelas merupakan sebahagian dari Malaysia. Ini adalah keputusan dan muafakat yang dicapai oleh rakyat Sabah pada tahun 1963.
"Rakyat Malaysia adalah rakyat yang bersatu padu, dan akan mempertahankan setiap inci wilayah negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA: Cadangan Sabah dalam peta pasport Filipina bukan pendirian rasmi negara itu - Kamarudin
Tambahnya lagi, Malaysia, Filipina dan rakan lain di ASEAN adalah rakan serantau dalam mendepani pelbagai isu melibatkan geopolitik dan keselamatan yang mengesankan rantau ini dan warganya.
"Usaha dan upaya bersama kita dalam memerangi aktiviti lanun, penculikan, pendatang asing tanpa izin dan terorisme menjadi tunjang utama dalam kerjasama pelbagai hala ini yang akan memanfaatkan rakyat dan ekonomi kita, dan seterusnya untuk segera pulih dari rempuhan wabak COVID-19," ujarnya.
Justeru tegas beliau, sekarang bukan waktu untuk politik keangkuhan dan mencipta pertelagahan yang sia-sia.
"Ini adalah masanya untuk kita rangkul segala kekuatan yang ada untuk memampan dampak COVID-19, mendukung jutaan rakyat yang miskin dan terpinggir, dan merencana masa depan yang aman dan sentosa untuk warga Malaysia dan Filipina," katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina cuba mencetuskan ketegangan apabila membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam peta pasport negara itu.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar dalam pada itu berkata, cadangan memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu ke dalam peta pasport Filipina bukan langkah terbaharu atau pendirian rasmi kerajaan negara itu.
#Anwar Ibrahim #ASEAN #ekonomi #Filipina #kerajaan #keselamatan #koronavirus #Malaysia #menteri #Parti Keadilan Rakyat #PKR #politik #presiden #rakyat #rakyat Malaysia
;