Isu rumah terbiar: Johor cadang turunkan kadar hartanah warga asing
Astro Awani
November 19, 2017 13:43 MYT
November 19, 2017 13:43 MYT
Kerajaan negeri bercadang mengurangkan kadar minimum pemilikan hartanah RM1 juta yang ditetapkan terhadap warga asing kepada harga yang sesuai mengikut keluasan hartanah.
Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, cadangan itu bagaimanapun perlu dikaji terlebih dahulu dan laporan mengenainya dijangka siap pada awal tahun depan.
Menurutnya, langkah itu adalah bagi menarik minat pembeli rumah untuk warga asing sekali gus mengatasi masalah rumah tidak terjual di negeri itu.
"Kita sedang melihat dasar untuk warga asing yang ditetapkan tidak boleh kurang dari RM1 juta seperti yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini juga jadi masalah (unit rumah tidak terjual).
"Bagaimanapun, selepas ini kita nak tengok mengikut keluasan tetapi ini masih dalam kajian. Mungkin 1,000 kaki persegi ditetapkan pada harga RM1 juta dan keluasan lebih kecil kita tengok berapa harga yang sesuai untuk pastikan rumah ini terjual," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengesahkan wujud ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran pasaran hartanah negara susulan harga rumah lebih tinggi berbanding kemampuan isi rumah Malaysia.
Sebelum ini kerjaaan negeri mengumumkan kenaikan kadar bagi pemilikan hartanah warga asing pada harga minimum RM1 juta daripada RM500,000 berkuatkuasa 1 Mei 2014 sebagai usaha mengawal kenaikan harga hartanah di negeri ini.
Selain itu Md Jais berkata kerajaan juga sedang mencari pendekatan bersesuaian bagi membantu golongan pertengahan M40 yang sukar memiliki rumah termasuk dengan menawarkan insentif kepada pemaju.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang memberi tumpuan kepada kumpulan M40 yang terperangkap antara harga rumah mampu milik yang berharga RM150,000 ke bawah yang mereka tidak layak serta harga selepas itu yang melebihi RM400,000.
"Kita juga mencari jalan bagaimana kita hendak beri insentif atau galakan kepada pemaju untuk membina rumah dengan harga antara RM200,000 hingga RM350,000 bagi membantu golongan ini,” katanya.
#Bank Negara
#Datuk Md Jais Sarday
#kadar minimum
#Kerajaan Johor
#kumpulan M40
#pemilikan hartanah
#ringgit
#rumah
#warga asing