Isu rumah terbengkalai: Di mana hak pembeli?
Hilmi Malik
Februari 3, 2021 21:48 MYT
Februari 3, 2021 21:48 MYT
KUALA LUMPUR: Memiliki rumah sendiri merupakan impian bagi kebanyakan individu yang sekali gus bakal menjadi komitmen kewangan terbesar bagi sesebuah keluarga.
Namun, di sebalik keindahan gambaran masa depan menikmati hidup di kediaman milik sendiri, ramai juga yang kecewa apabila projek pembinaannya terbengkalai.
Isu sedemikian bukan asing di negara ini yang menghimpit nasib pembeli.
Mereka menjadi mangsa apabila masih terpaksa membayar ansuran pinjaman bank berpuluh tahun lamanya, malah lebih menyedihkan terpaksa menyewa pula di tempat lain.
Bagaimana pembelaan terhadap mangsa?
Astro AWANI mendekati mangsa-mangsa bagi projek perumahan terbengkalai 1 Harmonis di Gombak yang sebahagian besarnya merupakan golongan pesara.
Difahamkan projek berkenaan dikatakan terbengkalai sejak 1997 dan sudah bertukar tangan daripada pemaju asal kepada beberapa pemaju lain sehingga hari ini.
Laporan Khas | Rumah terbengkalai: Dimana hak pembeli?
“Ada satu unit penama asal telah meninggal dunia dan telah diganti dengan pembeli lain dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
“Pemaju sepatutnya rujuk pembeli asal untuk urusan pembelian tetapi malangnya pemaju ambil kesempatan untuk jual dengan harga yang lebih tinggi kepada individu lain.
"Duit pencen ada yang habis, dikenakan lagi caj tambahan dan beban sedia ada pun masih belum tertanggung,” dakwanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Malah dakwa Abdul Rahman lagi, ada juga pembeli yang telah menandatangani surat perjanjian jual beli (SNP) namun malangnya unit mereka juga turut dijual kepada pihak lain.
Katanya, isu perumahan terbengkalai telah banyak menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembeli yang dalam masa sama terpaksa berdepan bebanan hutang serta faedah pinjaman yang perlu dijelaskan.
Sebahagian besar mangsa berharap isu tersebut dapat diselesaikan khususnya dengan campur tangan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan bagi meneliti perkara ini.
Projek perumahan terbengkalai bukan satu isu yang baharu malah masih wujud beberapa kes seumpama itu sehingga kini. Persoalannya di manakah hak pembelaan bagi mangsa?
Adakah pihak yang terlibat seolah-olah kebal dengan undang-undang atau penguatkuasaan itu sendiri yang masih lemah, atau mangsa terperangkap disebabkan ketidakmampuan meneruskan usaha tuntutan atas pelbagai kekangan.
Astro AWANI masih menunggu respons daripada pemaju projek berkenaan serta pihak berkuasa yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaiannya.
#KPKT
#projek perumahan
#terbengkalai
#kediaman sendiri
#impian
#mangsa
#dibebani hutang
#pemaju
#teraniaya
#Gombak