Isu rumah PR1MA Rantau tak siap, Zuraida akan jumpa pembeli esok
Rahimah Abdullah
April 6, 2019 19:46 MYT
April 6, 2019 19:46 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin akan bertemu dengan pembeli rumah PR1MA di Rantau esok.
Jelasnya, ia bagi mendengar sendiri keluhan dan masalah sebenar di sebalik isu projek perumahan itu yang didakwa masih tidak siap.
“Saya tiada masalah hendak jumpa mereka. Namun ada nanti yang aturkan hendak jumpa wakil pembeli. Esok boleh. Kita akan buat, sebab kita baru tahu tadi.
"Malam ini saya akan hubungi pengarah dan saya perlukan angka serta apa statusnya,” katanya semasa ceramah kempen di Kampung Kuala Sawah di Rantau pada Sabtu.
Katanya, beliau juga akan menghubungi Pengarah Perumahan Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA bagi mendapatkan maklumat terperinci, sekali gus menyelesaikan masalah tersebut.
Ujar beliau, walaupun kementeriannya dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan projek PR1MA, namun ketika ini ia masih dalam proses pengauditan.
Beliau bagaimanapun mengakui masalah kewangan dihadapi kontraktor menyebabkan ada projek yang tidak dapat disiapkan.
“Kebanyakan rumah kalau yang projek rumah yang mesti ada masalah kontraktor tu sebab tak dapat teruskan projek sebab masalah kewangan.
"Kalau kontraktor tiada masalah kewangan jadi kemungkinan kita akan mencari kontraktor penyelamat untuk meneruskan projek itu.
“Namun sebab PR1MA ini kita sedang semak audit transaksi perniagaannya, lalu banyak perkata kita belum dapat laporan. Saya akan tengok apa isu dan menghubungi Pengarah PRIMA apa isu rumah ekar,” tambahnya.
Pada Ahad, sekumpulan pembeli rumah PR1MA di Rantau menggesa pihak kementerian terlibat menyelesaikan isu pembinaan projek perumahan berkenaan yang masih terbengkalai.
Projek berkenaan sepatutnya siap sepenuhnya pada 31 Januari lalu.
#isu projek perumahan
#Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
#pembeli rumah PR1MA
#pembeli rumah PR1MA di Rantau
#prk rantau
#Rantau Memilih
#Zuraida Kamaruddin