Isu rumah Bajau Laut: 'Boleh roboh, jangan bakar' - Shafie

Mirlen Axtius
Jun 9, 2024 17:05 MYT
Shafie menyempurnakan Majlis Sambutan Lamai Kaamatan Warisan Sabah 2024 di Penampang pada Ahad. - Gambar/ Astro AWANI
PENAMPANG: Tindakan penguat kuasa merobohkan rumah yang dibina masyarakat Bajau Laut di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna disifatkan langkah bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan setempat.

Ringkasan AI
  • Penguat kuasa merobohkan rumah yang dibina oleh masyarakat Bajau Laut di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna, bagi memastikan keselamatan setempat.
  • Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa robohan rumah itu wajar dilakukan jika ada alasan keselamatan, tetapi tindakan membakarnya adalah tidak wajar.
  • Beliau menyerahkan penyelesaian masalah penempatan masyarakat Bajau Laut kepada kerajaan negeri, sambil menekankan pentingnya menangani isu ini dengan teliti dan berhemah.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan membakar rumah yang sudah dirobohkan itu adalah tidak wajar.
"Itu sekiranya pihak penguat kuasa ada tanggungjawab dari segi keselamatan mereka boleh lakukan, bukan tidak boleh lakukan kerana itu bukan tempat mereka (Bajau Laut).
"Tapi, dalam pada itu, kalau mahu robohkan boleh, janganlah bakar. Mereka boleh dihalau, tiada masalah, tapi jangan bakar sebab kadang-kadang anak-anak mereka melihat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Lamai Kaamatan Warisan Sabah 2024 di Penampang pada Ahad.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan penempatan masyarakat Bajau Laut yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, Shafie berkata, pihaknya tidak boleh bertindak sedemikian dan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk menguruskan isu tersebut.
"Kita tidak boleh buat seumpama itu, terserah dengan kerajaan negeri sebab mereka yang berkuasa bukan saya dan yang merobohkan itu kerajaan negeri, bukan saya," katanya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dalam satu kenyataan berkata, pihak penguat kuasa telah merobohkan sebanyak 273 rumah kediaman tanpa permit di kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.
#bajau laut #roboh rumah #bakar rumah #Palauh #Sabah #Shafie Apdal
;