Isu rotan anak: Jangan samakan mendidik dengan mendera! - Azwan Bro
Astro Awani
Januari 26, 2015 09:02 MYT
Januari 26, 2015 09:02 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO meminta undang-undang untuk perlindungan kanak-kanak kelak perlu jelas dibuat dengan mengambil kira hak ibu bapa atau penjaga dalam mendidik anak.
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, ia juga perlu mengelak dari memenuhi kehendak hak asasi manusia terlampau yang dibuat di negara-negara luar yang jelas berbeza budaya dan tradisi kehidupan.
"Dalam konteks ini, perundangan baru juga perlu digubal agar ia tidak menghalang pelaksanaan perundangan syariah berkaitan.
"Bermakna kalau Islam mengizinkan ibu bapa merotan (secara dibenarkan) anak-anak untuk bersolat, jangan pula undang-undang baru nanti mengatasinya," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.
Khairul Azwan mengulas cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim untuk menjadikan hukuman merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah dalam rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan.
Tambah Khairul Azwan, undang-undang baru kelak diharap tidak bercampur aduk hak mendidik anak-anak dengan hak asasi manusia terlampau yang dibuat negara-negara yang tradisi dan budaya mereka amat berbeza dengan budaya masyarakat Islam.
"Kita dan Islam punya cara dan hak kita untuk membesar dan mendidik anak-anak.
"Jangan kerana tekanan antarabangsa dan negara-negara yang tradisi dan budaya mereka amat berbeza, kita pula yang terikut-ikut," jelasnya.
Bagaimanapun ujarnya, undang-undang dan pencegahan yang lebih ketat serta berkesan dilihat elemen penting untuk mengawal kes penderaan kanak-kanak.
"Ada bezanya di sini, masyarakat harus faham kes penderaan kanak-kanak itu lain konsepnya dengan mendidik anak-anak," katanya.