Isu Rohingya: Usaha PM Najib di pentas antarabangsa membuahkan hasil - Anifah
Bernama
November 18, 2017 17:43 MYT
November 18, 2017 17:43 MYT
Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperjuangkan isu Rohingya di pentas antarabangsa mula membuahkan hasil apabila Myanmar sedang mengambil langkah menyelesaikan krisis Rohingya di Wilayah Rakhine, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata Malaysia berpuas hati dengan jaminan yang diberikan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di Manila baru-baru ini.
Menurut Anifah, Pemenang Hadiah Nobel itu antaranya memberi jaminan cadangan-cadangan Laporan Suruhanjaya Penasihat Rakhine yang dipengerusikan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan itu akan dilaksanakan.
"Malaysia mengetengahkan isu Rohingya di peringkat ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB. Tidak salah kalau saya katakan ia adalah usaha Najib," katanya dalam taklimat media pasca Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di sini.
Anifah berkata Aung San Suu Kyi turut menyatakan bahawa Myanmar dan Bangladesh dijangka menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk penghantaran semula pelarian Rohingya kembali ke tempat asal.
"Beliau (Aung San Suu Kyi) menyatakan MoU itu akan dapat dilaksanakan secepat mungkin selepas ditandatangani Bangladesh dan Myanmar. Kemungkinan Myanmar akan dapat melaksanakan penghantaran balik (pelarian) Rohingya dalam tempoh masa tiga minggu.
"Perdana Menteri juga memaklumkan saya supaya mengikuti perkembangan antara Bangladesh dan Myanmar.
"Oleh itu, kita tunggu dan lihat sekiranya ia dapat dilakukan. Saya akan menghubungi Menteri Luar Bangladesh untuk mengetahui syarat-syarat yang dikenakan Myanmar supaya mereka boleh kembali ke negara itu," katanya.
Anifah berkata Perdana Menteri membangkitkan agar MoU tidak meletakkan syarat-syarat yang sukar untuk pelarian Rohingya kembali ke tempat asal.
"Sekiranya Myanmar mahu dokumentasi tertentu, ini tidak dapat dilaksanakan kerana mereka ini tidak mempunyai sebarang dokumen," katanya.
Lebih 600,000 penduduk Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar, telah melarikan diri ke Bangladesh berikutan serangan tentera Myanmar terhadap orang awam dengan alasan memerangi militan bersenjata, sejak 25 Ogos lalu.
-- BERNAMA
#Anifah Aman
#ASEAN
#Aung San Suu Kyi
#Bangladesh
#isu rohingya
#Kofi Annan
#Manila
#Menteri Luar
#MoU
#Myanmar
#Najib Razak
#pelarian
#Pemenang Hadiah Nobel
#Penasihat Negara Myanmar
#Perdana Menteri
#Putrajaya
#Rakhine
#Rohingya