Isu Rohingya perlu ditangani dengan baik, elak pertambahan pelarian - Hishammuddin
Hasimi Muhamad
April 19, 2021 20:12 MYT
April 19, 2021 20:12 MYT
KUALA LUMPUR: Isu Rohingya perlu ditangani segera dengan lebih baik untuk mengelakkan peningkatan jumlah pelarian itu di Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata sekiranya isu tersebut tidak diatasi, ia mungkin boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara jiran.
Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, beliau dan rakan sejawatnya di negara-negara ASEAN sedang mencari jalan untuk mengatasi perkara tersebut.
“Saya bersama dengan Menteri Luar di ASEAN sedang mencari jalan penyelesaian mengenai situasi yang sedang berlaku di Myanmar. Jika tidak diatasi dengan betul, situasi Rohingya di negeri Rakhine akan menjejaskan (hubungan) dengan negara jiran.
“Di Malaysia, terdapat 200,000 (pelarian) Rohingya dan cuba anda bayangkan situasi di Myanmar semakin buruk, dan kita akan menerima kemasukan lebih ramai Rohingya ke negara kita,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi 'Meet And Greet' bersama Ketua-Ketua Perwakilan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.
Berucap lanjut, Hishammuddin berkata bilangan etnik Rohingya yang berada di negara ini mewakili satu daripada 80 peratus pelarian Muslim di seluruh dunia.
Sementara itu, Hishammuddin menambah, isu yang dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia ketika ini semakin kompleks, dan bukan hanya disebabkan oleh pandemik COVID-19 sahaja.
Katanya, umat Islam secara terus-terusan berdepan fitnah dan prasangka yang tidak berasas susulan sentimen Islamophobia yang semakin menebal.
“Bahkan Nabi Muhammad S.A.W yang kita sayangi telah menjadi bahan ejekan dan penghinaan mereka. Sesungguhnya, Islamofobia mengheret dunia dalam kitaran ganas.
“Hasilnya adalah kebencian yang berterusan. Kita perlu terus mengingatkan diri kita bahawa kita tidak akan menyerah terhadap tindakan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, keutamaan anggota OIC perlu diperbetulkan untuk mengatasi masalah yang dihadapi negara-negara Islam.
Tegasnya, kemiskinan, kelaparan serta pengabaian tidak boleh dibiarkan wujud di negara tersebut, selain tadbir urus yang baik menjadi kunci kepada penyelesaian.
Beliau berkata, negara-negara Islam juga harus berani memerangi rasuah.
“Kita harus jujur dengan diri kita sendiri bahawa beberapa negara termiskin di dunia adalah Muslim, dengan sebilangan besar umat Islam hidup dalam kemiskinan.
“Ini mesti menjadi keutamaan kita, terutama ketika negara-negara kita sedang dalam program vaksinasi. Akses kepada vaksin adalah elemen integral hak asasi manusia yang mesti dihormati, dilindungi dan dipenuhi,” katanya.
Hishammuddin juga menegaskan pendirian Malaysia adalah memastikan bahawa tidak ada unsur diskriminasi terhadap masyarakat yang menerima jenis vaksin berbeza.
#Rohingya
#Malaysia
#Menteri Luar
#Hishammuddin Hussein
#pelarian
#hubungan dengan negara jiran
#risiko
#oic
#meet and greet
#ASEAN