Isu Rohingya: Malaysia gesa UNHCR beri kerjasama cepatkan proses penempatan ke negara ketiga
Astro Awani
Jun 26, 2020 16:35 MYT
Jun 26, 2020 16:35 MYT
Malaysia menggesa Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memberi kerjasama dalam mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar bukan hanya perlu digalas Malaysia.
"Walaupun, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, kami menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar. Namun, situasi ini tidak boleh berterusan selama-lamanya," kata beliau semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 secara maya yang dipengerusikan Pengerusi ASEAN Tahun 2020, Perdana Menteri Vietnam ,Nguyen Xuan Phuc di Hanoi pada Jumaat.
Malah katanya, krisis di Wilayah Rakhine itu turut memberi kesan besar kepada rantau Asia dan masalah itu perlu diselesaikan dengan lebih berkesan.
"Malaysia akan terus menanggung beban krisis berpanjangan ini, yang mana tiada penghujungnya. Kami tidak boleh lagi mengambil lebih ramai (pelarian) memandangkan sumber dan kapasiti ketika ini sudah mula diketatkan, susulan pandemik COVID-19.
"Bagaimanapun, secara tidak adilnya, Malaysia diharapkan dapat melakukan lebih banyak perkara untuk menampung pelarian yang masuk," ujar Muhyiddin.
Justeru, ASEAN juga perlu membantu antara negara anggota dalam mencari penyelesaian berkesan isu pelarian Rohingya yang memberi kesan kepada penduduk serantau.
"Krisis ini telah menimpa kita sejak sekian lama dan tidak akan dapat menyelesaikannya sendiri. Masyarakat antarabangsa memerhatikan kita.
"Apa yang kita lakukan di ASEAN untuk saling membantu lain dalam mencari jalan penyelesaian yang berkesan untuk wilayah Rakhine? ASEAN mesti melakukan lebih banyak perkara untuk membantu Myanmar dan Myanmar juga harus melakukan lebih banyak perkara untuk menangani krisis ini," tambah beliau.
Muhyiddin mengetuai Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 bermula hari ini melibatkan sepuluh pemimpin negara dengan menumpukan kepada isu pandemik COVID-19.
#ASEAN
#Asia
#koronavirus
#Malaysia
#menteri
#Muhyiddin Yassin
#Myanmar
#pandemik
#pelarian
#Perdana Menteri
#Rakhine
#Rohingya
#Vietnam