Isu RM94 juta: Speaker minta Ahli Parlimen Pendang kemuka bukti atau mohon maaf

Bernama
November 6, 2024 15:30 MYT
Johari mengeluarkan arahan tersebut selepas RSN Rayer membentangkan usul untuk merujuk Ahli Parlimen itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini meminta Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan penemuan wang tunai sebanyak RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri, atau membuat permohonan maaf.
Beliau mengeluarkan arahan tersebut selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membentangkan usul untuk merujuk Ahli Parlimen itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan bersifat tuduhan yang dianggap mengelirukan dewan.
"Saya tidak pasti sama ada Pendang ada bukti-bukti lain selain apa dinyatakan seperti termaktub dalam surat ditulis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada saya. Oleh kerana Pendang tiada di sini, saya mohon Ketua Whip untuk maklumkan kepada Pendang, bahawa ada dua pilihan.
"Pilihan pertama, dia hadir untuk menjelaskan, sekiranya ada bukti, menunjukkan ini adalah bukti dan tunjukkan SPRM juga salah serta siasatan telah dibuat. Sekiranya tidak, memohon maaf sahaja sudah memadai. Saya rasa itu adalah yang terbaik, terpulang kepada dia," katanya selepas selesai soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Jelutong akan bersama-sama dengannya untuk mencari penyelesaian terbaik dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada dewan kemudian.
#RM94 juta #bekas menteri DAP #ahli parlimen pendang #Awang Hashim
;