Isu retak: MRT namakan 9 individu sebar maklumat palsu

Khairunnisa Kasnoon
Julai 25, 2015 17:44 MYT
Sembilan nama itu diberi semasa memfailkan laporan polis susulan penyebaran berita itu sejak Khamis. - Foto Astro AWANI
MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini menamakan sembilan indidivu yang dipercayai terlibat menyebarkan maklumat palsu mengenai keretakan pada laluan MRT di Bandar Utama dekat Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), seperti yang didakwa.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak memaklumkan, sembilan nama itu diberi semasa memfailkan laporan polis susulan penyebaran berita itu sejak Khamis.
"Jadi sekali lagi saya nak beritahu, tidak ada keretakan yang berlaku dalam mana-mana kawasan projek kami dan tiada ada benarnya mengenai apa yang diwar-warkan di dalam media sosial.
"Saya minta orang ramai ambil maklum dan saya telah menggesa pihak polis dan kami akan berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) untuk buat siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang,"
"Sembilan nama telah diberikan termasuk mereka yang memulakan posting , kongsi posting dan komen yang boleh dianggap sebagai satu fitnah," jelasnya ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers di sini hari ini.
BACA: Garisan tebal yang dilihat dalam gambar bukan retak - MRT Corp
Tambahnya, laporan polis juga dibuat bagi menjamin keselamatan umum, khususnya kepada pengguna yang melalui jalan berkenaan
"Walaupun kita telah membuat kenyataan rasmi pada malam 23hb mengatakan tidak ada keretakan tapi kami mendapati masih lagi ada pihak yang membuat dakwaan sebaliknya di media sosial terutamanya termasuk Facebook, Low Yat.net dan Whatsapp,"
Orang yang sebarkan maklumat ini tidak betul. Kami risau kerana ia melibatkan keyakinan orang ramai dan keyakinan terdahap projek ini dan terhadap keselamatan mereka apabila lalu di kawasan di bawah itu," ujarnya.
Beliau pada masa sama menekankan, bedasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pihaknya, kenyataan pertama akan dikeluarkan seawal 15 minit pertama sejurus laporan diterima.
Ia akan disusuli laporan penuh 45 minit kemudiannya.
Khamis lepas, MRT Corp menafikan dakwaan kononnya garisan tebal dalam gambar yang tersebar di media sosial adalah keretakan pada laluan MRT di landasan LDP.
Ia sebaliknya hanya teknik kamera yang menampakkan jahitan antara dua helai jaring yang menutupi landasan itu seperti keretakan.
Dalam pada itu Amir Mahmood meminta orang ramai mendapatkan maklumat sahih daripada MRT sendiri sekiranya terdapat sebarang keraguan sebelum menyebarkannjya kepada umum.
#Amir Mahmood Razak #Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd #MRT Corp
;