Isu rasuah: Pendaftaran pemilik bermanfaat perlu dilaksana dengan lebih efektif

Isabelle Leong
Februari 7, 2021 14:23 MYT
AKHBAR: Wartawan penyiaran patut memainkan peranan yang lebih agresif supaya dapat membongkar siapa sebenaranya tuan punya syarikat besar, sedangkan ia diberi nama di bawah kroni. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Garis panduan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mewajibkan semua syarikat berdaftar memberikan maklumat mengenai pemilik bermanfaat (BO) masing-masing, diharap dapat dilaksanakan dengan lebih efektif bagi membanteras gejala rasuah dalam kalangan pegawai atasan agensi kerajaan.
Menurut Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, sekiranya tiada kepakaran dari segi perisian atau cara penyiasatan yang teratur, ia sukar untuk memerangi gejala tidak berakhlak itu.
“Saya berharap BO yang diperkenalkan SSM dapat dilaksanakan dengan lebih efektif supaya kami dapat menjalankan tugas dengan baik.
"SSM perlu memastikan supaya tidak takut apabila menyiasat sesiapa sahaja yang tidak melapor maklumat yang betul dari semasa ke semasa termasuk orang yang berkuasa dan terdedah secara politik (politically exposed person),” kata Akhbar dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Ahad.
Rasuah | Perangi penglibatan pegawai atasan agensi kerajaan
Untuk rekod, BO merupakan orang yang mendapat manfaat daripada keuntungan sesebuah syarikat walaupun penama syarikat orang lain.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata wartawan penyiasat memainkan peranan yang penting bagi menghebahkan pemilik syarikat besar yang mungkin didaftarkan atas nama kroni mereka.
“Wartawan penyiaran patut memainkan peranan yang lebih agresif supaya dapat membongkar siapa sebenaranya tuan punya syarikat besar, sedangkan ia diberi nama di bawah kroni.
“Ini sebabnya terdapat ahli politik yang seolah-olah tidak mempunya syarikat tetapi mempunyai wang yang begitu banyak. Wang tersebut mungkin datang daripada wang derma politik atau mempunyai syarikat sendiri yang didaftarkan di bawah nama orang lain.
“Kadangkala, ada juga ahli politik dan pegawai kerajaan yang menggunakan kedudukan mereka untuk memberikan kontrak kepada kroni mereka, sedangkan syarikat kroni itu sebenarnya milik mereka sendiri,” katanya.
Tambahnya, kini sudah tiba masanya kerajaan bertindak seagresif mungkin untuk membanteras rasuah, tidak kira individu terlibat memegang jawatan tinggi atau rendah dalam agensi kerajaan serta mendedahkan syarikat-syarikat yang didakwa dinaungi ‘orang berjawatan’.
“Kami hendaklah mempunyai iltizam politik yang ikhlas daripada pihak pemerintah.
“Kami juga perlu memastikan agensi penguat kuasa kami lebih bebas dan ini termasuk Peguam Negara.
“Selain itu, sokongan daripada masyarakat amat penting kerana sudah tentu sampai masanya masyarakat menentang rasuah dan memastikan apabila kami memilih dalam pilihan raya yang akan datang, kami dapat memilih ahli politik yang benar-benar bersih sebaik-baiknya. Jika tidak, negara ini tidak mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.
#Rasuah #Akhbar Satar #Suruhanjaya Syarikat Malaysia #SSM #pemilih bermanfaat #BO #Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia #kroni #wang derma politik
;