Isu rasuah PDRM: TPM Zahid tidak malu kalau terpaksa 'potong kaki dan tangan'

Harits Asyraf Hasnan
Mei 25, 2017 15:39 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu berucap merasmikan Hari Data Terbuka 2017 di Universiti Malaya hari ini. --fotoBERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui tidak berasa malu terhadap tindakan yang diambil ke atas pegawai atau penguat kuasa agensi dan jabatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan pembabitan dalam kes jenayah termasuk rasuah.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jika tiada tindakan diambil, ia akan menyebabkan jenayah sedemikian menular sekaligus merosakkan keseluruhan integriti jabatan, agensi dan kementerian.
"Saya tak pandang bulu. Saya buta warna. Saya tak malu ambil tindakan. Saya tidak malu mengambil tindakan terhadap pihak yang menjadi pegar makan padi atau nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.
"Saya tidak pernah mahu berkompromi, saya tidak pun berasa malu apabila ada 'tangan' yang dipotong kerana 'diabetes'. Kalau tidak dipotong akan merosakkan satu badan. Kita perlu bersihkan supaya kita bersih dan harus kelihatan bersih. Kita mahu persepsi berubah dan kebolehpercayaan meningkat," katanya pada majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) Institut Tadbiran Awan (INTAN) 2016 di sini, hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, walaupun indeks jenayah menurun namun persepsi terhadap pasukan penguatkuasaan tidak pernah berubah.
"Ada pihak masih menganggap Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak buat kerja, KDN tidak cukup kuat, malah Menteri KDN juga dilihat tidak cukup bagus. Persepsi tidak berubah sebab dalam diri kita masih ada prasangka atau prejudis.
"Prejudis bermula dengan tanggapan pertama, terutama mutakhir ini apa yang berlaku di Melaka, Bukit Aman dalam kalangan pegawai polis, di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik atau unit yang mengendalikan jenayah, maksiat, pelacuran dan judi.
"Kita mahu lihat semangat ini, bukan saja dalam kalangan pegawai polis tetapi semua agensi penguatkuasaan. Sukar untuk dilaksanakan tetapi tidak mustahil.
"Tahniah pada Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, pegawai polis bersih yang mahu lihat PDRM berada di barisan hadapan walaupun terpaksa 'potong kaki dan tangan yang menghidap diabetes'," katanya.
#Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi #integriti #krisis PDRM #Menteri Dalam Negeri #persepsi polis #Polis Diraja Malaysia #Rasuah #Timbalan Perdana Menteri
;