Isu rasuah: Jabatan Perikanan sedia beri kerjasama sepenuhnya
Bernama
November 15, 2017 23:52 MYT
November 15, 2017 23:52 MYT
Jabatan Perikanan (DOF) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan penguatkuasaan susulan siasatan terhadap dua agensi berkaitan industri perikanan yang disyaki terbabit dengan sindiket merompak hasil laut negara.
Merujuk kepada laporan muka depan sebuah akhbar tempatan mengenai isu itu, Ketua Pengarah DOF Datuk Munir Mohd Nawi berkata sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam pengurusan perikanan negara, DOF sedia bekerjasama walaupun SPRM tidak menamakan mana-mana agensi dalam laporan tersebut.
"DOF komited melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh integriti maka dengan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak di dalam atau di luarjabatan yang terlibat dengan salah laku dan perbuatan rasuah," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Berhubung cadangan SPRM supaya kerajaan mengkaji semula Akta Perikanan 1985 terutama Seksyen 19 berkaitan kelulusan permit kepada nelayan, Munir berkata DOF tidak pernah melulusan permit menangkap ikan kepada vesel penangkapan ikan asing di bawah seksyen itu.
"Ini kerana, selama ini tiada sebarang perjanjian antara Malaysia dengan negara asing untuk tujuan tersebut seperti mana keperluan dalam Seksyen 15 (1) yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.
"Dengan itu sebarang komen tentang denda dalam seksyen tersebut juga adalah tidak relevan," katanya.
Bagaimanapun, Munir berkata melalui perbincangan lepas terutama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut, tidak dapat dinafikan terdapat seksyen-seksyen tertentu akta tersebut yang perlu dipinda atau ditambah baik.
"Ia sedang dalam proses pengemaskinian maklumat untuk dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, termasuklah cadangan susulan lawatan audit 'Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) Fishing' pihak Kesatuan Eropah (EU) pada Julai lepas," katanya.
Tambahnya isu utama yang dihadapi ketika ini adalah kelemahan dari segi penguatkuasaan membanteras pencerobohan vesel nelayan asing yang datang dari negara seperti Vietnam yang menjadi antara punca ketirisan ikan negara.
Katanya usul yang diluluskan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) pada tahun 2014 juga telah meminta DOF meningkatkan penguatkuasaan.
Justeru, Munir berkata DOF mengalu-alukan cadangan SPRM supaya undang-undang berkaitan DOF perlu dilihat semula seperti kawasan penguatkuasaan yang kini terhad kepada 12 batu nautika dari kawasan pantai.
Katanya ia selaras dengan sokongan bersurat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) semenjak tahun 2016 supaya DOF diperkasakan dalam aspekpenguatkuasaan perikanan melalui program teras perkhidmatan teknikal iaitu pemantauan, kawalan dan pengawasan (MCS).
Munir berkata dengan pemerkasaan semula DOF, penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 akan menjadi lebih efektif termasuklah membanteras pencerobohan vesel dan penggunaan pukat tunda di pesisiran pantai yang menjejaskan pendapatan nelayan dan ekosistem laut.
-- BERNAMA
#DOF
#jabatan perikanan
#Munir Mohd Nawi
#sindiket merompak
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia