Isu rasuah dan integriti tiada kompromi! - Ketua Pengarah JPJ

Afiezy Azaman
April 18, 2019 13:12 MYT
SHAHARUDDIN: "Jika ada penahanan anggota JPJ kita tidak akan berkompromi atau melindungi malah akan membantu SPRM untuk menjalankan siasatan." - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid memberi amaran kepada anggota dan pegawainya untuk tidak berkompromi mengenai isu rasuah dan integriti.
Ini susulan penahanan 24 anggota dan pegawai JPJ Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berhubung kes melindungi kesalahan syarikat dan pemandu lori di sekitar negeri itu.
"Jika ada penahanan anggota JPJ kita tidak akan berkompromi atau melindungi malah akan membantu SPRM untuk menjalankan siasatan.
"Kita akur dengan penahanan tersebut kerana ia tugas SPRM dan mempunyai kaitan dengan integriti serta penjawat awam. Kita mahu JPJ bersih daripada elemen salah guna kuasa, rasuah dan masalah integriti," katanya dalam sidang media tergempar di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, pada Khamis.
Terdahulu, pada Selasa lepas media melaporkan seramai 33 individu termasuk 24 anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang disyaki terlibat dengan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan di sekitar negeri itu.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek merupakan antara 33 individu berumur antara 31 dan 54 tahun yang ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.
Tiga daripada individu yang ditahan semalam itu adalah wanita dan mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Laporan media sebelum ini menyebut petugas-petugas JPJ yang ditahan ini berjawatan penguat kuasa gred 19 hingga 32, dipercayai menerima bayaran bulanan antara RM10,000 dan RM32,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain membocorkan maklumat operasi jabatan itu.
Sementara itu, Shaharuddin berkata JPJ mempunyai program Sistem Pengurusan Anti-Rasuah dan akan memperkemaskan lagi sistem berkenaan.
"Kita juga ada bahagian integriti bagi memastikan integriti semasa menjalankan tugas sentiasa ditegakkan oleh semua anggota dan pegawai JPJ," jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bagi mengurangkan gejala rasuah JPJ mengambil langkah ke arah transaksi digital dengan mengurangkan transaksi hubungan antara manusia.
"Kita ke arah digital, semua buat atas talian. Sekarang kita telah ada beberapa program seperti E-Bidding dan sebagainya dan beberapa lagi masih dalam perancangan malah JPJ akan lebih moden selepas ini," katanya.
#Bersih #integriti #JPJ #Malaysia #penjawat awam #Putrajaya #Rasuah #siasatan #SPRM
;