Isu rasuah bukan kerana hukuman tidak mencukupi - Peguam

Cynthia Ng
Januari 12, 2017 21:29 MYT
SHAHREDZAN: "Apabila kita bercakap mengenai undang-undang, kita masih terperangkap dalam pemikiran bahawa kalau ada masalah, penyelesaian kita ialah membuat hukuman lebih berat." - Foto Twitter Syahredzan Johan
Gejala rasuah yang dilihat sesetengah pihak sebagai semakin meningkat dan menjadi-jadi kebelakangan ini bukan disebabkan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah tidak mencukupi.
Peguam dan aktivis, Syahredzan Johan berkata ia sebalikya kerana kurang penguatkuasaan dan pemantauan yang masih belum memadai.
"Isunya bukan kerana hukuman kita tidak mencukupi atau terlalu lenient (lembut) tapi lebih dari itu. Sebab apabila kita bercakap mengenai undang-undang, kita masih terperangkap dalam pemikiran bahawa kalau ada masalah, penyelesaian kita ialah membuat hukuman lebih berat.
"Tetapi isunya adalah dari segi penguatkuasaan, sama ada terdapat kemahuan politik dan pemantauan yang cukup terhadap penjawat awam," katanya ketika mengulas mengenai cadangan hukuman lebih berat, termasuk hukuman sebat terhadap pegawai perkhidmatan awam terbabit rasuah di Hari Ini 8, Astro AWANI malam ini.
Tambahnya, kes-kes rasuah besar yang masih belum diselesaikan mengundang persepsi bahawa kurangnya keseriusan dari pihak berkuasa untuk membanteras rasuah.
"Ya, ada mungkin beberapa orang yang kena tetapi orang ramai masih berkata yang selalu kena ialah ikan kecil. Kalau 'jerung besar' pun kena, tetapi akhirnya apabila dibawa ke mahkamah, lebih kerap mereka dibebaskan. Kadang kala, pertuduhan akan digugurkan pihak pendakwaan sendiri.
"Jadi ini memberi persepsi bahawa pihak yang tertentu tidak serius membanteras rasuah," katanya lagi.
Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) Isnin lalu dalam satu kenyataan berkata amalan rasuah yang melibatkan jumlah wang yang besar dalam kalangan pegawai perkhidmatan awam sangat membimbangkan dan merosakkan reputasi perkhidmatan itu serta negara.
Menurut kenyataan itu, pegawai perkhidmatan awam yang telah diamanahkan sepatutnya tidak menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mereka untuk mengkhianati dan melakukan pecah amanah.
Justeru alumni itu mencadangkan hukuman lebih berat termasuk sebatan perlu dikenakan terhadap pegawai perkhidmatan awam yang didapati terbabit dengan kesalahan salah guna kuasa dan rasuah.
#berita Malaysia #Hari Ini 8 #Rasuah #Syahredzan Johan
;