Isu rasuah: Anwar, Majlis Presiden PH digesa tunjuk teladan baik terutama libatkan 'orang sendiri'
Astro Awani
April 27, 2023 19:40 MYT
April 27, 2023 19:40 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) digesa menunjukkan teladan baik serta mengotakan janji dalam menangani rasuah apabila isu itu melibatkan 'orang sendiri'.
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khairudin berkata, rakyat semakin matang dan boleh melihat dengan jelas sikap double standard kerajaan terutamanya melibatkan pemimpin PH.
"Hari ini siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah berkaitan imbuhan kelulusan pekerja asing yang melibatkan Menteri Sumber Manusia dari PH, tetapi menteri berkenaan tidak direhatkan.
"Perdana Menteri sewajarnya merehatkan Menteri Sumber Manusia selari dengan tindakan desakan Majlis Presiden PH terhadap kes Tan Sri Azam Baki selepas beliau dikaitkan dengan isu pemilikan saham pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan di Facebooknya di sini, pada Khamis.
Selain Azam, Khairil Nizam berkata, Majlis Presiden PH turut mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah yang bukan suspek dalam isu pemilikan saham turut direhatkan.
"Walaupun kedua-dua mereka bukanlah suspek, namun disebabkan kedudukan mereka dalam agensi berkaitan SPRM menyebabkan terdapat konflik kepentingan sehingga PH mendakwa mereka enggan mengambil tindakan terhadap Azam," ujarnya.
Beliau memberitahu, tindakan itu penting bagi memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa tekanan serta campur tangan pihak berkepentingan yang memiliki kuasa.
Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut menegaskan antara tatakelola baik yang diamalkan dalam dunia korporat dan industri adalah dengan memberikan garden leave bagi merehatkan pegawai yang berkenaan bagi melindungi kepentingan perniagaan dan juga reputasi baik sesebuah organisasi.
"Untuk rujukan, pada 14 April 1999 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar, setelah disabitkan atas empat kesalahan berhubung penyalahgunaan kuasa campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.
"Rakyat tidak mahu lagi melihat kes sebegini berulang di dalam kerajaan," katanya.
Namun penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin sebelum ini memberitahu, gesaan supaya Sivakumar 'direhatkan' daripada tugas sebagai menteri adalah kurang berasas selagi beliau belum disabitkan bersalah atas kes rasuah.
Menurutnya, dari segi perundangan, Ahli Parlimen Batu Gajah itu tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan dan dalam konteks itu, beliau belum didapati bersalah.