Isu rampasan aset Petronas: Najib perlu jawab beberapa persoalan - Anwar
Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 15, 2022 20:18 MYT
Julai 15, 2022 20:18 MYT
PETALING JAYA: Kerajaan perlu melakukan siasatan terperinci serta pendedahan sepenuhnya membabitkan isu aset Petronas yang dirampas selain isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia.
Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah Datuk Seri Najib Tun Razak selaku bekas Perdana Menteri perlu menjelaskan keputusan Malaysia menghentikan pembayaran wang serahan berjumlah RM5,300 setahun melalui peguam yang mewakili sembilan waris Kesultanan Sulu sejak 2013.
“Dia (Datuk Seri Najib) harus jawab apa yang berlaku dengan kaitan terhadap Sultan Sulu yang dia pelawa sebagai tetamu dia dan juga beberapa keputusan yang dibuat sehingga 2013.
“Saya tak mahu jadi masalah sama ada soal PH ke apa, ini soal maruah negara dan soal kedaulatan negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Pemukiman Sasterawan dan Karyawan: Pengembangan Karya di Selangor di sini hari ini.
Beberapa hari lalu aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.
Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).
Bagaimanapun hari ini kerajaan menegaskan bahawa tidak pernah mengiktiraf tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
BACA: Petronas sahkan terima notis, susulan laporan aset di Azerbaijan dirampas waris Kesultanan Sulu
Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kerajaan juga tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
Sehubungan itu, kerajaan, jelas Wan Junaidi, telah membuat permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa.