Isu pusat tahfiz: Keikhlasan sahaja tidak mencukupi - Mufti Perlis
Ahmad Khairol Shafizan Johari
September 14, 2017 21:11 MYT
September 14, 2017 21:11 MYT
Membuka dan menguruskan pusat tahfiz memerlukan keikhlasan tetapi keikhlasan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya ia harus disertai dengan kemampuan mereka untuk mematuhi syarat yang disediakan kerajaan.
Jelas Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mengakui isu ini sering dilatari dengan sentimen agama, begitupun beliau bertegas isu ini tidak selesai dengan sekadar bertawakal.
"Nabi (Muhammad s.a.w) tak benarkan (hanya) tawakal. Kita kena tambat dahulu unta, baru kita bertawakal kepada Allah, dan bukannya kita lepaskan begitu sahaja," tegasnya semasa ditemu ramah Astro AWANI pada Khamis.
"Kita tahu mahaad tahfiz di mana-mana sahaja tidak memenuhi syarat-syarat sepenuhnya, tetapi oleh kerana sentimen agama, pihak berkuasa pun takut (untuk ambil tindakan) kerana dianggap menghalang.
"Jadi kita rasa tak apalah mereka nak belajar. Akhirnya kita mengorbankan perkara yang lebih besar apabila berlaku peristiwa seperti ini," kata Mohd Asri.
Mohd Asri berkata nyawa anak-anak tahfiz ini lebih bernilai dan sekiranya mereka masih hidup tentu banyak sumbangan yang boleh mereka berikan.
"Soal reda dengan Allah satu hal, tetapi soal kecuaian dan penipuan mana-mana pihak yang bertangungjawab mesti dipertanggungjawabkan," katanya lagi.
Dengan nada kecewa, Mohd Asri turut mendedahkan ada sebahagian pengusaha yang mempergunakan maahad tahfiz untuk mengaut kewangan.
"Dia boleh mendapatkan kutipan derma daripada orang Islam kerana banyak orang akan menderma dan derma itu juga tidak ada pihak yang akan mengauditnya dan kita pun tidak tahu bagaimana ia akan dibelanjakan.
"Jadi kadang kala kita tengok pengusaha maahad tahfiz begitu mewah tetapi sekolahnya begitu daif sedangkan derma orang ramai mencurah-curah," tambahnya.