Isu pusat judi dalam talian takkan selesai tanpa kerjasama PBT - Nur Jazlan
Astro Awani
Februari 11, 2018 14:55 MYT
Februari 11, 2018 14:55 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi kesukaran membasmi pusat judi dalam talian kerana lesen premis tertakluk di bawah kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Biarpun serbuan dan operasi telah dijalankan PDRM, namun pusat judi dalam talian ini kembali beroperasi atas permit yang telah diberikan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PBT perlu bekerjasama dengan polis dalam menangani isu pusat judi dalam talian, khususnya di Selangor.
"Ini menjadi masalah kepada pihak polis kerana walaupun mereka ada kuasa untuk menutup premis tersebut, kalau PBT masih berikan lagi lesen, maka premis itu akan dibuka semula.
"Itu masalah yang dihadapi oleh pihak polis di Selangor," katanya.
Jelasnya, permit yang dikeluarkan di bawah Pusat Hiburan Keluarga adalah sah, tetapi sekiranya premis didapati menjalankan kegiatan judi haram dan diserbu polis, ia perlu ditutup dan permit perlu ditamatkan.
"Sepatutnya kalau sudah diserbu dan telah disahkan sebagai tempat judi haram dalam talian, ia patut ditutup terus oleh PBT," tambahnya.
Media semalam melaporkan kegiatan judi dalam talian yang masih giat dijalankan di Selangor walaupun Bukit Aman telah mengisytiharkan perang terhadap kegiatan ini.
Antara kawasan yang masih aktif menjalankan aktiviti judi dalam talian ialah Ampang, Subang Jaya, Shah Alam, Meru dan Klang.