Isu projek Warisan Merdeka: Stadium Negara, Stadium Merdeka kekal - Najib
Astro Awani
Mac 17, 2016 07:43 MYT
Mac 17, 2016 07:43 MYT
Walaupun kerajaan sedang mengusahakan Projek Warisan Merdeka, Stadium Negara dan Stadium Merdeka akan terus kekal sebagai mercu tanda dan tapak bersejarah negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis berkata kedua-dua stadium berkenaan mengingatkan kembali rakyat kepada detik-detik kemerdekaan negara.
"Melangkah masuk ke Stadium Merdeka semalam membawa kembali kenangan bermulanya detik-detik kemerdekaan kita daripada jajahan asing 59 tahun lalu.
"Di sini jugalah kita diingatkan kepada semangat kesukanan dan perjuangan pahit manis wira-wira veteran sukan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.
Pada Rabu, Najib melancar dan menamakan projek fasa pertama Warisan Merdeka melibatkan pembangunan menara ikonik 118 tingkat di sini sebagai Merdeka PNB118.
Ia juga bakal muncul sebagai menara tertinggi Malaysia apabila siap kelak.
"Kesemua kejayaan yang dicapai PNB serta kejayaan syarikat-syarikat di Malaysia adalah bersandarkan kemampuan kerajaan dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang," katanya.