Isu PPR Taman Manggis: Terimalah hakikat anda dah tak layak - KM Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 9, 2019 15:20 MYT
Chow berkata demikian ketika diminta mengulas isu pengusiran 22 penduduk Taman Manggis yang sebahagiannya kini 'berkampung' di Komtar. - Gambar fail
Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini yang diarahkan keluar dari kediaman mereka pada Rabu lalu perlu menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya sudah hilang kelayakan mendiami rumah PPR dan tergolong di dalam kategori berlainan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sudah tiba masanya penduduk merancang untuk masa depan mereka dengan memiliki kediaman sendiri dengan memohon mendapatkan unit rumah kos rendah atau sederhana rendah yang ditawarkan Kerajaan Negeri.
Chow berkata, mereka yang terlibat dalam pengusiran itu sepatutnya sedar bahawa kediaman mereka itu adalah transit dan mereka hanya dibenarkan mendiaminya bagi tempoh yang ditetapkan.
BACA: Isu PPR Taman Manggis sepatutnya selesai lebih awal - Musa
Tegasnya, kerajaan negeri sudah beberapa kali membuat penjelasan kepada penduduk dan memberikan tawaran sewajarnya namun sehingga pengusiran dibuat tiada sebarang tindakan dilakukan penduduk.
“Saya berharap mereka boleh menerima hakikat bahawa mereka sudah hilang kelayakan PPR tetapi sememangnya layak untuk kategori yang lain yang menunggu mereka tampil ke hadapan, lihat kesesuaian untuk ditawarkan. Hilang PPR tidak semestinya hilang segalanya, dia layak kategori yang lain,” kata Chow selepas majlis perasmian Expo Perumahan Mampu Milik Siri 1, 2019 di Bukit Mertajam pada Sabtu.
Chow berkata demikian ketika diminta mengulas isu pengusiran 22 penduduk Taman Manggis yang sebahagiannya kini 'berkampung' di Komtar.
Sementara itu, ditanya mengenai saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin agar satu pertemuan diadakan bagi merungkai masalah tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan negeri terbuka untuk mengadakan rundingan berhubung isu tersebut.
Namun katanya penduduk pula bertindak menolak beberapa tawaran yang dibuat sebelum ini menjadikan masalah ini kian berlarutan.
Jagdeep berkata melalui janji yang dibuat dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Kerajaan Negeri merancang membina 76,000 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik secara berperingkat menjelang tahun 2025.
Bagaimanapun, sehingga kini, lebih 100,000 unit rumah sudah dibina dan melepasi sasaran yang ditetapkan.
Jadgeep , berkata kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk menambahkan unit rumah PPR bagi membantu golongan rakyat kurang berkemampuan disamping akan banyak memperkenalkan konsep sewa beli.
#hilang #kerajaan #Ketua Menteri #Ketua Menteri Pulau Pinang #Manifesto #menteri #penduduk usir #pilihan raya #pilihan raya umum #PPR #Projek Perumahan Rakyat #PRU14 #rakyat #rumah #Taman Manggis
;