Isu PPR Taman Manggis sepatutnya selesai lebih awal - Musa
Astro Awani
Mac 9, 2019 09:53 MYT
Mac 9, 2019 09:53 MYT
Masalah penduduk PPR Taman Manggis yang diusir dari kediaman seharusnya dapat diselesaikan lebih awal dan penduduk tidak perlu berkampung dan tidur di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, kejadian penduduk dihalau oleh kerajaan negeri dari rumah mereka sendiri tidak pernah berlaku sebelum ini.
Situasi itu tidak sepatutnya terjadi, katanya sambil menambah, penduduk sepatutnya mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri, tetapi sebaliknya, mereka pula dihalau oleh kerajaan negeri.
"Sepatutnya kerajaan negeri sudah selesaikan. Sudah tiga hari berlalu, tak boleh selesai perkara ini. Masalah yang kecil macam ini pun tak boleh selesai.
"Tak munasabah langsung. Tak masuk akal. Dah jadi macam pelarian, apa kerajan negeri ada buat pada hari ini? Sedih saya tengok. Ini satu peristiwa yang tak pernah berlaku di Pulau Pinang ini," katanya.
Justeru, beliau berharap akan ada penyelesaian terbaik bagi penduduk terbabit.
Beliau juga meminta Kerajaan Negeri agar mendengar saranan yang dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya satu pertemuan diadakan bagi merungkai masalah.
Beliau berkata demikian selepas menyertai solat hajat bersama penduduk, ahli-ahli Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di perkarangan Komtar yang diimamkan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Fauzi Yusof.
Sejak Rabu hingga Jumaat lalu, enam daripada 22 buah keluarga yang terlibat dalam pengusiran di PPR Taman Manggis oleh kerajaan negeri masih tinggal di perkarangan Komtar.
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata, Pas mengambil perhatian serius berhubung tindakan yang diambil kerajaan negeri dalam isu PPR Taman Manggis dan pengusiran penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Butterworth.
Tambah beliau, kerajaan negeri dalam kedua-dua kes itu mengambil tindakan yang disifatkan menjurus kepada kezaliman apabila menggunakan kekerasan serta tanpa belas kasihan.
Ujarnya, kerajaan negeri sepatutnya turut mengambil kira situasi yang dihadapi penduduk terlibat apatah lagi kebanyakan mereka adalah penduduk miskin yang memerlukan bantuan.
"Dulu kita lihat cara pengusiran ini dilakukan syarikat pemaju, tetapi hari ini apabila kerajaan yang usir, dia nak mengadu kepada siapa? Sepatutnya, kerajaan ialah tempat rakyat (mengadu).
"Ini tindakan yang memalukan. Beri peluang kedua kepada mereka untuk kembali ke rumah mereka," kata Mohd Fauzi.
Beliau mendakwa, isu pengusiran penduduk PPR Taman Manggis juga mencerminkan kegagalan kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik sejak mentadbir negeri ini 10 tahun lalu
Sebanyak enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah diusir dari unit kediaman masing-masing di PPR Taman Manggis, dan terpaksa berteduh di KOMTAR, sejak jam 12 tengah malam Khamis.
Mereka mendakwa tiada tempat tinggal dan terpaksa menjadikan perkarangan Komtar sebagai tempat tinggal sementara selepas kediaman mereka dikunci pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
#kerajaan negeri
#komtar
#Mohd Fauzi Yusof
#Musa Sheikh Fadzir
#PAS
#Penduduk
#pengusiran
#PPR
#rumah dikunci
#solat hajat
#Taman Manggis
#Tanah Wakaf Abdul Cauder