Isu PPR Taman Manggis selesai, penduduk setuju tawaran alternatif
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 12, 2019 05:02 MYT
Mac 12, 2019 05:02 MYT
Isu penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis selesai apabila mereka bersetuju dengan tawaran alternatif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.
Persetujuan itu dicapai menerusi rundingan selama lima jam antara penduduk yang terlibat dengan wakil kerajaan negeri pada Selasa.
Kesemua penyewa yang terlibat telah ditawarkan rumah sewa beli di Lebuh Macallum dengan kadar sewa RM230 sebulan.
Susulan itu, lima keluarga yang menjadikan perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebagai tempat tinggal sementara sejak seminggu lalu juga bersetuju untuk mengosongkan kawasan berkenaan pada malam tadi.
Satu majlis ringkas dan doa kesyukuran turut diadakan di perkarangan Komtar yang turut dihadiri beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai tanda berakhirnya kemelut yang melanda penyewa PPR Taman Manggis.
Salah seorang anggota keluarga penyewa yang terlibat, Nazrimah Jamal Abidin, 44 tahun, berkata
"Saya berterima kasih kepada NGO-NGO, Ustaz Sophian dan kawan–kawan yang banyak membantu kami berkempen selama tujuh hari.
"Syukur alhamdulillah, Allah telah beri kepada saya rumah sewa beli yang telah ditawarkan oleh kerajaan negeri di Lebuh Macallum.
"Saya sangat-sangat bersyukur kepada-Nya kerana rumah itu dan saya rasa seronok sangat sebab nak dapat rumah baru," katanya.
Sementara itu, menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain penyewa dibenarkan pulang ke unit PPR masing-masing dan diberikan tempoh selama dua minggu lagi sebelum berpindah keluar dari rumah berkenaan.
"Pada hari ini kerajaan negeri Pulau Pinang telah akur pada tuntutan kita bahwa kita mengatakan rakyat tidak boleh diusir daripada rumah, jika mereka nak mengusir rakyat, mereka perlu ada satu alternatif dan penyelesaian untuk memberi rumah kepada rakyat.
"Pada hari ni kita berjaya menuntut apa yang diperlukan oleh rakyat," ujarnya.
Sehubungan itu, mereka berterima kasih kepada beberapa wakil kerajaan negeri yang berjumpa dan berbincang dengan penduduk sehingga jalan penyelesaian dicapai.
Pada 6 Mac lalu, 22 penyewa diusir dari PPR Taman Manggis selepas didakwa hilang kelayakan menghuni kediaman masing-masing.
Mereka kemudiannya bertindak menjadikan perkarangan Komtar sebagai tempat tinggal sementara sehingga jalan penyelesaian dicapai antara kerajaan negeri.
#berkampung
#diusir
#hilang kelayakan
#Isu PPR Taman Manggis
#kerajaan negeri
#Kompleks Tun Abdul Razak
#komtar
#Lebuh Macallum
#penyewa
#pindah
#PPR Taman Manggis
#Projek Perumahan Rakyat
#pulau pinang
#rumah sewa beli
#tempat tinggal sementara