Isu popia: Kenapa Indonesia suka bising hal yang kecil? - Nik Safiah

Wan Syamsul Amly
Februari 22, 2015 16:25 MYT
NIK SAFIAH: Isu popia: Kenapa Indonesia suka bising hal yang kecil? - Gambar fail
Indonesia diminta tidak bertelagah mengenai isu kecil membabitkan asal usul makanan yang terlalu sukar untuk dikenal pasti siapa pencipta pertamanya.
Budayawan dan tokoh sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, Malaysia dan Indonesia merupakan wilayah yang mempunyai banyak perkongsian sekali gus perselisihan isu remeh diharap tidak lagi berlaku.
"Kita tidak tahu siapa punya popia ini, jadi kita andaikan Indonesia ada popia mereka, kita juga ada popia sendiri.
"Asasnya sama, tepung, inti, digulung dan akhinya dimakan. Persoalan yang ditimbulkan Indonesia terlalu kecil dan banyak lagi isu yang harus difikirkan mengenai kemajuan dua negara ini berbanding popia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr. Nik Safiah mengulas demonstrasi dilakukan aktivis budaya yang dikenali sebagai Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi) yang mendakwa popiah atau lumpia merupakan makanan khusus dari Semarang di hadapan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Kumpulan itu turut mengingatkan kerajaan Malaysia agar tidak menyenaraikan popiah sebagai masakan warisan Malaysia.
Tegas Dr. Nik Safiah, Indonesia dilihat kerap menimbulkan isu remeh bermula dari tarian, lagu dan kini melibatkan makanan.
"Dia (Indonesia) kata kita ambil hasil mereka sedangkan semuanya sama sahaja. Namun kita tidak pernah kata mereka juga ada mengambil seni dan budaya kita.
"Ini perkongsian budaya namanya, hak bersama namun berbeza variasi...jadi tak payah bising-bising," jelasnya.
Pada Ahad, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu Indonesia supaya menutup mulut dan berhenti membuat tuntutan ke atas sejenis makanan dinamakan Lumpia Semarang.
Kata Mohamed Nazri, sekiranya Indonesia mula menuntut mengenai hidangan berkenaan, sebagai balasan Malaysia boleh mempersoal mengenai asal-usul Bahasa Indonesia.
Tegasnya, Bahasa Indonesia mempunyai asal-usul Melayu dan Indonesia tidak sepatutnya melatah dalam tuntutan terbaharu mereka baru-baru ini.
#Indonesia #Lagu #Malaysia #nik safiah #popia
;