Isu politik: Semak fakta melalui platform sahih - Fahmi
Bernama
Mac 16, 2023 14:28 MYT
Mac 16, 2023 14:28 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyarankan orang ramai untuk membuat semakan fakta melalui platform disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Beliau berkata MCMC mempunyai sebuah unit dinamakan SEBENARNYA.MY untuk memperjelas dan memperbetulkan maklumat palsu manakala Bernama dengan platform MyCheck.My untuk mengesahkan kesahihan sesuatu maklumat yang disampaikan.
"Pihak kerajaan dari semasa ke semasa akan teliti cadangan supaya rakyat jadi bijak, cakna, lebih prihatin, lebih celik dan faham serta fasih tentang demokrasi.
"Jadi, saya sarankan Ahli Parlimen guna pakai platform SEBENARNYA.MY dan MyCheck.My untuk sahkan maklumat," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung langkah kerajaan untuk membuat semak dan imbang berkenaan isu politik yang dikeluarkan pemimpin.
MyCheck.My adalah platform semakan fakta yang beroperasi secara bebas untuk membanteras maklumat palsu dalam konteks Malaysia, terutamanya berkaitan isu memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat.
Portal SEBENARNYA.MY pula adalah sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak sebelum berkongsi berita tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog dan laman sesawang.
-- BERNAMA